Peniaga durian rugi hampir setengah juta terpedaya pelaburan AI

Mangsa tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu. Foto hiasan
Mangsa tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu. Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN – Terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan menerusi pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI), seorang peniaga durian mengalami kerugian RM450,879.40 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud.

Mangsa yang berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi Telegram pada 30 Oktober lalu kemudian dipelawa menyertai pelaburan berasaskan pusingan wang menggunakan aplikasi janaan AI.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah diarahkan melayari sebuah laman web untuk memulakan pelaburan.

"Bermula 4 November lalu, pengadu telah beberapa kali memasukkan wang bagi tujuan pelaburan, bayaran yuran, penambahan nilai pelaburan serta denda akibat kelewatan membuat penambahan pelaburan.

"Sehingga laporan polis dibuat, pengadu telah melakukan sebanyak 22 transaksi membabitkan 12 akaun bank berlainan dengan jumlah kerugian RM450,879.40," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas diminta memasukkan wang tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran modal pelaburan yang telah dibuat.

Jelasnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, terutama jika dilakukan secara tergesa-gesa.

Katanya, orang ramai perlu menyemak latar belakang sesuatu pelaburan dan memastikan pelaburan yang disertai disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sekiranya terdapat sebarang urusan pindahan wang yang mencurigakan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my.

"Orang ramai juga boleh melaporkan kejadian penipuan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997," katanya.

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!