Kaji semula keputusan tidak dedah rekod pegangan saham Azam - Guan Eng

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak mendedahkan rekod pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan sama ada sebarang tindakan telah diambil terhadap Azam serta asas kepada tindakan berkenaan, jika ada.
Menurut Guan Eng, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen bahawa rekod pegangan saham Azam bukan dokumen awam dan tidak boleh didedahkan amat mengecewakan.
"Pendirian ini bertentangan dengan prinsip asas ketelusan, akauntabiliti awam dan tanggungjawab, selain menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah dalam apa jua bentuk tanpa mengira siapa atau dari mana ia berasal," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.
Guan Eng berkata, Azam mencetuskan kontroversi berhubung urus niaga pembelian saham bagi tempoh 2012 hingga 2026 apabila jumlah nilai pegangan sahamnya melebihi RM100,000.
Ini sekali gus melanggar Pekeliling Kerajaan 2024 yang mengehadkan penjawat awam daripada memiliki pegangan saham melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai melebihi RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah, dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap keengganan Azalina mendedahkan dapatan siasatan serta apa yang disifatkannya sebagai "tindakan yang sewajarnya" yang dilaporkan kepada Jemaah Menteri oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kontroversi pegangan saham Azam.
"Tiada alasan munasabah untuk merahsiakan maklumat berkenaan atau enggan mendedahkan rekod pegangan saham itu kerana perkara terbabit jelas melibatkan kepentingan awam berkaitan integriti dan kejujuran pegawai tertinggi pencegahan rasuah negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan berkenaan dan mendedahkan rekod pegangan saham Tan Sri Azam Baki kepada umum, selain menjelaskan apakah tindakan yang telah diambil terhadap beliau serta asas tindakan tersebut, jika ada.
Terdahulu, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan maklumat berhubung perincian transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan saham mantan Pesuruhjaya SPRM itu tidak boleh didedahkan kerana dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, maklumat berkenaan merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi dan dokumen perisytiharan harta yang tidak diklasifikasikan sebagai dokumen awam, namun menjelaskan isu pemilikan serta perisytiharan harta termasuk pegangan saham Azam telah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang hasil siasatannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

