'Mengapa rakyat tak berhak tahu urus niaga saham Azam?' - Chean Chung

Hantaran Chean Chung di Facebook pada Rabu.
Hantaran Chean Chung di Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mempersoalkan mengenai hak rakyat untuk mengetahui maklumat urus niaga saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kerana sememangnya transaksi berkenaan direkodkan oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau menegaskan, setiap urus niaga saham meninggalkan rekod rasmi apatah lagi apabila ia melibatkan seorang penjawat awam yang pernah menerajui SPRM, tahap akauntabiliti kepada masyarakat sepatutnya lebih tinggi.

Menurutnya, jawapan kerajaan yang enggan mendedahkan laporan siasatan berhubung pegangan saham Azam hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding memberikan penjelasan kepada rakyat.

“Jawapan ini jelas tidak meyakinkan rakyat. Siasatan berhubung pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM telah bermula sejak 13 Februari lalu.

“Kini hampir lima bulan telah berlalu. Mengapa sehingga hari ini laporan siasatan itu masih tidak boleh didedahkan?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said terdahulu dilapor berkata, maklumat berhubung perincian transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan saham Azam tidak boleh didedahkan kepada umum kerana dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau memaklumkan, maklumat yang diminta itu merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta dokumen perisytiharan harta yang tidak diklasifikasikan sebagai dokumen awam.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Chean Chung (PH-Petaling Jaya) di Dewan Rakyat mengenai senarai transaksi pembelian saham Azam dari tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh pegangan saham yang melebihi nilai RM100,000.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu meminta Perdana Menteri menyenaraikan transaksi pembelian saham mantan Pesuruhjaya SPRM dari tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh pegangan saham yang melebihi nilai RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Chean Chung yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mempersoalkan kenyataan Azalina bahawa siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional.

“Namun jika laporan terus dirahsiakan tanpa penjelasan yang munasabah, bagaimana rakyat boleh menilai bahawa proses itu benar-benar bebas, telus dan profesional?

“Persoalannya, adakah Azam begitu istimewa sehingga seluruh jentera kerajaan dan peruntukan undang-undang digunakan untuk melindungi maklumat berkaitan, sehingga wakil rakyat sendiri tidak boleh mendapatkan jawapan bagi pihak rakyat jelata?” ujarya lagi.

Tambah beliau, lebih mengecewakan, jawapan seperti itu diberikan ketika rakyat Johor bakal membuat keputusan dalam pilihan raya negeri.

“Saya tidak dapat mengelak daripada mengimbau kembali bagaimana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) suatu ketika dahulu ditangani melalui pelbagai tindakan pentadbiran (iaitu dengan mengguna pakai) Akta Rahsia Rasmi, penutupan media, ugutan kepada wakil rakyat dan tindakan mahkamah bagi menghalang pendedahan kepada umum.

“Saya benar-benar berharap tanggapan ini silap. Namun jawapan yang diberikan hari ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” dakwanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!