Penduduk Selayang Baru akan jalani saringan Covid-19 segera

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SELAYANG - Jabatan Kesihatan Selangor akan segera melaksanakan ujian saringan koronavirus (Covid-19) kepada semua penduduk di kawasan Selayang Baru yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi tujuan mengenal pasti individu yang positif Covid-19 selepas kerajaan negeri bersetuju dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan PKPD di beberapa kawasan di Selayang Baru.

“Fokus utama pelaksanaan PKPD di sebahagian kawasan Selayang Baru ini antaranya untuk mengenal pasti kelompok warga asing yang perlu disaring dan seterusnya dikuarantin jika didapati positif.

“Jabatan kesihatan akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon-zon tersebut pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PKPD yang berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 3 Mei ini di kawasan tersebut adalah sebahagian langkah pencegahan penularan Covid-19 susulan pelaksanaan PKPD di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri melalui Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan menyelaras dan memantau pelaksanaan PKDP di tujuh lokasi tersebut.

"Aagensi berkaitan juga akan menyelaras dan memantau aspek pengurusan bekalan makanan kepada 2,500 penduduk yang terlibat dan terkesan akibat pelaksanaan PKPD," katanya.

Terdahulu, Selayang Baru diumumkan sebagai kawasan ketujuh PKPD oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD ketujuh di Selayang Baru

Ia melibatkan Zon A (Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru) dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).