X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD ketujuh di Selayang Baru

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketujuh di Selayang Baru Gombak, Selangor bermula hari ini sehingga 3 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia melibatkan enam parcel yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, bagi Zon A ia melibatkan Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak.

“Zon B, Jalan Indah 21, Lembah Indah; Zon C melibatkan Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21 serta Zon D Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru.

“Selain itu bagi Zon E pula ia melibatkan Jalan 2, 4, 6 dan 8; manakala Zon F Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD bagi membendung jangkitan Covid-19 setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan virus itu di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa. Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, semua aktiviti perniagaan di kawasan tersebut dihentikan.

“Pangkalan Perubatan (nedical base) dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Ismail Sabri turut meminta penghuni di kawasan berkenaan untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun telah turun padang bagi memastikan bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur di kawasan PKPD itu.

“Bantuan keperluan makanan asas telah mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu petugas agensi-agensi berkaitan.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092, 03-6126 1500 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247, 03-6126 2240,” katanya.

INFO

PKPD ini berkuatkuasa mulai 25 April 2020 sehingga 3 Mei 2020, melibatkan enam parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:

Zon A - Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak, Selangor

Zon B - Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon C -Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon D - Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon E - Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor

Zon F - Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak, Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!