Sindiket dadah eksploitasi TUDM: Jangan hukum ATM - Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

KOTA TINGGI - Masyarakat diminta tidak menghukum keseluruhan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan kes penemuan dadah di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang yang dipercayai membabitkan segelintir anggotanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada kira-kira 120,000 anggota tentera yang sedang berkhidmat, hanya segelintir individu dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Menurutnya, anggota lain masih menjalankan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Saya berharap supaya masyarakat tidak menghukum institusi kerana daripada 120,000 anggota tentera yang berkhidmat. Mungkin ada beberapa anggota yang tidak amanah.

"Kita faham memang kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Tapi dalam konteks ni, susu sebelanga tu tak boleh dipersalahkan hanya kerana nila setitik itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Apresiasi Tabika Kemas Parlimen Kota Tinggi di Desaru di sini, pada Ahad.

Tegas beliau, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit tanpa mengira pangkat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis.

"Kementerian dan ATM tidak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan begini.

"Kita sangat telus dan bertegas dalam soal ini kerana kita tahu kalau perkara ini tidak dijaga, kedaulatan dan pertahanan negara boleh tercabar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pada Jumaat, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Perdana Menteri menyifatkan kes itu sebagai amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.

Berikutan itu pada Khamis lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kg dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.

Beliau berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!