Poay Tiong mohon maaf selepas dikritik isu penutupan premis ketika solat Jumaat

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantarannya berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat.
Dalam kenyataan permohonan maafnya, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam penyampaian pandangan berkenaan, khususnya dari segi pemilihan kata dan nada yang digunakan sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam.
"Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka. Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut.
"Sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin, saya sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab dan sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila melibatkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut menerima segala teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka, selain mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
Poay Tiong sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka akibat hantaran berkenaan.
Beliau berjanji akan mengambil iktibar daripada perkara itu dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataannya pada masa hadapan.
Pada Jumaat, Poay Tiong mempertikai arahan MBKT yang melarang aktiviti perniagaan dan hiburan ketika waktu solat Jumaat. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
