PHB terus perkukuh amalan budaya integriti

SHAH ALAM - Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) terus memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik dalam kalangan warga kerjanya menerusi pelbagai inisiatif dan program kesedaran bagi mewujudkan persekitaran kerja bebas rasuah.
Jabatan Komunikasi Korporat PHB dalam satu kenyataan berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui penganjuran Hari Integriti dan ESG PHB 2026, bertujuan meningkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan integriti, pematuhan dan amalan tadbir urus yang berkesan dalam organisasi yang berlangsung di Ibu Pejabat PHB, Rabu lalu.
Menurutnya, program sehari itu menampilkan pelbagai pengisian, antaranya Taklimat Kesedaran Pengubahan Wang Haram (AMLA), Lafaz Ikrar Bebas Rasuah, pelancaran Platform Pemberi Maklumat (Whistleblowing Platform) yang dipertingkatkan serta program kesedaran kitar semula sebagai sebahagian komitmen kelestarian syarikat.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Kumpulan PHB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan dihadiri 200 warga kerja syarikat.
Menurut PHB, pihaknya turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh budaya integriti dan akauntabiliti organisasi sepanjang tahun.
Ia termasuk mengekalkan pensijilan ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS), memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tadbir urus dan menambah baik Platform Pemberi Maklumat.
"Inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen PHB dalam memperkukuh budaya kebertanggungjawaban, integriti dan ketelusan, selain memastikan tadbir urus organisasi sentiasa berlandaskan amalan terbaik dan standard profesional yang tinggi.
"Usaha berterusan ini turut mencerminkan komitmen PHB terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang kepentingan serta menyokong kemampanan organisasi dalam jangka panjang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

