Ismail sandar pengalaman politik, tadbir urus terajui Negeri Sembilan

SEREMBAN - Datuk Ismail Lasim yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran negeri, hasil menjadi wakil rakyat kira-kira tiga dekad, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merentasi beberapa penggal kerajaan serta mempunyai latar belakang profesional sebagai peguam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, hari ini.
Ismail mula menceburi politik sebagai wakil rakyat apabila dipilih sebagai ADUN pada 1999 dan sejak itu membina pengalaman hampir tiga dekad dalam politik Negeri Sembilan.
Beliau mula dilantik sebagai EXCO pada 2004 dan terus menganggotai pentadbiran negeri selama tiga penggal berturut-turut hingga 2018.
Sepanjang tempoh itu, beliau memegang portfolio pendidikan serta terlibat dalam merangka dan melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pembangunan pendidikan dan modal insan di Negeri Sembilan.
Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah itu sekali lagi diberi kepercayaan menyertai barisan EXCO dengan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan.
Dilahirkan di Juasseh, Kuala Pilah, Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pusat Juasseh sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) sebelum membina kerjaya sebagai peguam.
Ismail mendirikan rumah tangga dengan Datin Noraishah Othman dan pasangan itu dikurniakan lima orang anak.
Selain rekod dalam pentadbiran kerajaan negeri, Ismail juga dikenali sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam parti menerusi penglibatan aktif pada pelbagai peringkat parti, termasuk jawatan terkini sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri.
Ismail memulakan khidmat sebagai ADUN Senaling pada 1999, menjadi antara pemimpin yang mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran kerajaan negeri dan politik UMNO, selain terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta pembangunan negeri.
Dalam bidang profesional, Ismail pernah berkhidmat sebagai peguam serta mempunyai pengalaman dalam pengurusan korporat pada peringkat lembaga pengarah.
Kemenangannya di Juasseh pada PRN Negeri Sembilan ke-16 menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan politiknya, sekali gus memperkukuh rekod perkhidmatan sebagai wakil rakyat.
Ismail memenangi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 undi menewaskan Mohd Aidil Abdullah mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Zuhaimi Md Yusof (Bersatu).
BN memenangi 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. - Bernama
:
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
