Bersih raikan 20 tahun perjuangan, hargai suara rakyat bawa perubahan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan suara rakyat menjadi pemangkin kepada pelbagai perubahan besar dalam sistem demokrasi dan pentadbiran negara.
Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sambutan bertemakan 'Suara Kita, Kuasa Kita' itu bukan sekadar menghimpunkan aktivis, malah menjadi ruang untuk generasi muda memahami legasi perjuangan berkenaan.

"Program sehari yang juga satu 'reunion' aktivis Bersih bersama-sama menggerakkan perubahan sejak 2006 serta penglibatan anak muda yang bersemangat meneruskan perjuangan ini.
"Bagi kita, perkara utama ialah bagaimana kita melihat sambutan ini sebagai ruang meraikan kejayaan membawa perubahan-perubahan besar," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada sambutan dua dekad Bersih di The Godown Arts Centre di sini pada Sabtu.
Hadir sama, bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Profesor Wong Chin Huat.

Muhammad Faisal berkata, perubahan yang berjaya diperjuangkan ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Seksyen 27 Akta Polis yang membuka ruang kepada penggubalan Akta Perhimpunan Aman.
Tambah beliau, reformasi lain yang turut dicapai termasuk pelaksanaan Undi18 dan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya.
"Itu merupakan inti pati daripada suara rakyat yang disalurkan kepada Bersih," katanya.

Beliau turut mengharapkan generasi muda dapat memahami sejarah perjuangan itu dan melihat bahawa suara rakyat menjadi asas kepada perubahan.
"Besar harapan kami apabila membicarakan Bersih, kita mengharapkan anak muda akan datang memahami bahawa dengan suara inilah perubahan itu dapat dilaksanakan sekali gus meneruskan legasi Bersih," katanya lagi.
Berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhammad Faisal menegaskan tindakan menegur kerajaan atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu tidak seharusnya disamakan dengan perbuatan derhaka.
Katanya, perkara itu perlu dilihat dalam konteks perjuangan menentang kleptokrasi dan menuntut keadilan.
"Apabila persoalan menegur dan melahirkan rasa tidak puas hati itu, ia harus dilihat dalam konteks lebih objektif iaitu kita melawan sistem kleptokrasi, bukan isu yang dengan mudah dituduh sebagai penderhaka.
"Derhaka itu bukan mereka yang meluahkan rasa isi hati mahukan keadilan dan kebenaran, tetapi mereka yang memperbodohkan rakyat serta mencuri duit rakyat.
"Kita harus faham bahawa kita bangkit melawan supaya perubahan ini dapat dilakukan," katanya.

Pada sambutan itu, Bersih turut menyampaikan Anugerah Demokrasi Bersih kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) sebagai penghargaan terhadap peranan serta sokongan yang diberikan kepada gerakan demokrasi sejak 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
