Shah Alam, Klang kembali dilanda banjir kilat

SHAH ALAM – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Selangor sejak kira-kira jam 2 petang pada Selasa menyebabkan banjir kilat sehingga menjejaskan beberapa laluan utama di Shah Alam, Klang dan Puncak Alam.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah sekitar i-City, Bandar Bukit Raja, Kota Kemuning, Kampung Rantau Panjang, Klang dan Puncak Alam.
Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kenderaan terkandas selepas enjin mati ketika cuba meredah laluan yang dinaiki air. Malah, terdapat kenderaan yang terpaksa ditolak oleh orang ramai untuk keluar dari kawasan banjir.
Menerusi perkongsian di Threads, pemilik akaun nyzamferiy memaklumkan beberapa laluan di Bandar Baru Klang dinaiki air sehingga menyebabkan kenderaan mengalami masalah ketika melalui kawasan berkenaan.

Sementara itu, pemilik akaun imann berkongsi keadaan banjir di sekitar i-City, Shah Alam yang didakwa berlaku walaupun hujan turun kurang daripada setengah jam.
Menurutnya, keadaan tersebut turut menyukarkan penduduk kondominium di kawasan berkenaan untuk keluar berikutan laluan alternatif yang terhad.
“Penduduk kondominium di sini hendak keluar tiada jalan lain kerana laluan utama dinaiki air,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik akaun Lindasahim mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati apabila air mula naik di laluan Meru menghala ke Pasar Klang.
Pengguna Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang turun di Stesen Pasar Klang turut diingatkan mengenai keadaan banjir di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beberapa perkongsian di media sosial turut menunjukkan keadaan banjir yang melanda pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Klang.
Satu lagi perkongsian sekitar jam 3.30 petang memaklumkan laluan di hadapan AEON Bukit Raja turut dinaiki air termasuk kawasan selepas stesen minyak Petron, sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan raya.
Sehingga kini, belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung tahap keseluruhan keadaan banjir di kawasan terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

