Benteng utama ekosistem industri halal
Kolej UNITI, UHAC terus perkasa eksekutif halal melalui pelancaran GHS sempena PEH26

DALAM usaha memastikan ekosistem industri halal negara terus kekal kukuh, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pasaran global, pembangunan bakat serta profesional eksekutif halal sepatutnya terus diberi keutamaan.
Demikian antara fokus utama yang diketengahkan Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa pada edisi kelima Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal (PEH).
Menurutnya, eksekutif halal memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam memastikan pelaksanaan syariah dan pematuhan terhadap standard pensijilan halal Malaysia di peringkat industri.
"Eksekutif halal bukan sekadar bertanggungjawab memastikan prosedur halal dipatuhi, malah mereka menjadi benteng utama dalam mempertahankan integriti halal di lapangan.
"Jadi, anda semua merupakan pasukan barisan hadapan dalam pelaksanaan dan pematuhan syariah serta standard pensijilan halal Malaysia dan benteng mempertahankan halal di lapangan industri," katanya ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 350 peserta PEH26 di Bangi Avenue Convention Centre di Bangi baru-baru ini.
Persidangan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Datuk Mohd Asri Abdullah; Pengarah UNITI Halal Centre (UHAC), Muhamad Elyas Harun dan Profesor Adjung Universiti Islam Selangor, Datin Hakimah Mohd Yusoff.

Menurut Amir Hamzah, PEH terus menjadi platform menghimpunkan pengamal, pemain industri dan pakar halal bagi membincangkan perkembangan semasa, dasar kerajaan serta cabaran yang dihadapi sektor berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kolej UNITI antara yang terawal menawarkan pengajian khusus dalam bidang halal menerusi Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2013.
Malah, Kolej UNITI turut diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai Pusat Latihan Halal sejak 2018.
Beliau berkata, Kolej UNITI dan UHAC komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan bakat halal negara, serantau serta global melalui pelbagai inisiatif pendidikan, latihan profesional, bengkel, seminar dan persidangan.
GHS inisiatif perkasa eksekutif halal
Jelasnya, perkembangan industri halal dunia yang semakin pesat turut meningkatkan permintaan terhadap tenaga profesional yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kompetensi tinggi, malah berdaya tahan serta memiliki kemahiran kepimpinan.
“Potensi nilai dagangan halal global yang diunjurkan mencecah AS$4.95 trilion menjelang 2030 berbanding sekitar AS$2 trilion ketika ini juga membuka peluang lebih luas kepada tenaga profesional halal untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Sehubungan itu, Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar sebagai negara pengeksport bakat dan kepakaran halal ke seluruh dunia,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya turut memperkenalkan pendekatan pendidikan dan latihan termasuk program Halal Edutourism di dalam dan luar negara yang membawa peserta turun ke lapangan melihat sendiri pelaksanaan halal dalam industri.
Selain itu, pihaknya turut memperluas usaha memperkasakan lagi eksekutif halal dan bakat halal menerusi pengenalan Global Halal School (GHS) iaitu platform pembelajaran halal secara kendiri berasaskan teknologi digital.
“GHS menawarkan kaedah pembelajaran lebih moden dan tersusun yang membolehkan akses pendidikan halal diperluas tanpa sempadan.
"Melalui platform itu, pembelajaran halal menjadi lebih fleksibel, mudah diakses dan mampu dimanfaatkan tanpa kekangan masa serta lokasi,” jelasnya.
Beliau turut mengajak pemain utama industri halal untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kolej UNITI dan UHAC bagi memperkukuh pembangunan bakat serta melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat bersama.

Usaha itu katanya, penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja terus dikenali sebagai peneraju pensijilan halal, malah berupaya melahirkan tenaga profesional yang menjadi rujukan dan memenuhi keperluan industri halal dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

