Beralih kepada kuasa industri halal dunia – Dr Zulkifli

AHLI jawatankuasa PEH26 yang bertungkus-lumus menjayakan persidangan selama dua hari di Bangi baru-baru ini.
AHLI jawatankuasa PEH26 yang bertungkus-lumus menjayakan persidangan selama dua hari di Bangi baru-baru ini.
A
A
A

MALAYSIA harus mengubah pendekatan pembangunan industri halal daripada sekadar menjadi peneraju dalam aspek pensijilan halal kepada kuasa besar yang menguasai pengeluaran, pengkomersialan dan eksport produk halal di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan, meskipun Malaysia telah membina reputasi sebagai antara negara rujukan utama dalam pembangunan dan pensijilan halal dunia, masih banyak ruang yang perlu diterokai bagi memperkukuh kedudukan negara dalam sektor tersebut.

Menurutnya, Malaysia ketika ini telah memberikan pengiktirafan kepada lebih 100 badan pensijilan halal dari 50 negara, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap piawaian dan sistem pengurusan halal negara.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian itu tidak seharusnya menyebabkan Malaysia berasa selesa kerana negara pesaing semakin agresif membangunkan industri halal masing-masing.

"Kita tidak boleh selesa kerana dunia berubah dan pesaing-pesaing juga sudah mula mengejar serta cuba bersaing dengan Malaysia.

"Ia menuntut kita untuk terus berdaya saing, berdaya cipta, berinovasi dan bergerak dengan tangkas serta pantas," katanya ketika menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH26) di Bangi baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Datuk Mohd Asri Abdullah; Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa; Pengarah UNITI Halal Centre (UHAC), Muhamad Elyas Harun dan Profesor Adjung Universiti Islam Selangor, Datin Hakimah Mohd Yusoff.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Malaysia harus memberi perhatian kepada jurang antara kekuatan pensijilan dengan penguasaan pasaran industri halal global.

Sebagai contoh, meskipun negara mempunyai sistem pensijilan halal yang diiktiraf, penguasaan Malaysia dalam pasaran kosmetik halal dunia masih sekitar satu peratus, manakala kedudukan negara dalam eksport halal pula berada di tangga ketiga dunia.

Justeru katanya, sudah tiba masanya pembangunan industri halal negara diperkasakan secara lebih menyeluruh, bermula daripada pensijilan kepada pengkomersialan, kesediaan memasuki pasaran kepada keupayaan mengeksport selain pemain tempatan kepada peneraju industri halal antarabangsa.

Halal dalam Belanjawan 2027

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan peruntukan kerajaan dalam Belanjawan 2027 bagi pembangunan syiar Islam termasuk aspek halal turut mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh ekosistem halal negara.

“Peruntukan untuk syiar Islam meningkat daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM3.1 bilion pada 2027.

“Antara inisiatif yang diumumkan bagi Belanjawan 2027 untuk halal termasuklah geran padanan RM5,000 untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pensijilan halal serta geran RM25,000 bagi sektor kosmetik dan farmaseutikal,” jelasnya.

Selain itu katanya, kerajaan turut memberikan perhatian kepada penambahan 100 juruaudit halal dan menaik taraf sistem MYeHALAL bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan pensijilan halal bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

Perkasa profesional eksekutif halal

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli menegaskan bahawa pembangunan modal insan yang kompeten, profesional dan berintegriti merupakan antara keperluan utama bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia peneraju industri halal global.

DR ZULKIFLI (kiri) menerima cenderamata daripada Amir Hamzah (kanan) selepas menyempurnakan majlis perasmian PEH26.
DR ZULKIFLI (kiri) menerima cenderamata daripada Amir Hamzah (kanan) selepas menyempurnakan majlis perasmian PEH26.

Katanya, peranan eksekutif halal tidak lagi boleh dilihat sekadar menguruskan dokumentasi atau memastikan sesebuah syarikat memenuhi keperluan pensijilan semata-mata.

“Sebaliknya mereka perlu berperanan sebagai tenaga profesional yang memikul amanah besar untuk memastikan prinsip halalan toyyiban diterapkan secara menyeluruh dalam pengurusan organisasi, proses pengeluaran, rantaian bekalan dan penyampaian perkhidmatan.

“Sehubungan itu, PEH26 dilihat sebagai platform penting untuk memperkukuh pengetahuan, meningkatkan kompetensi, berkongsi pengalaman dan membina jaringan dalam kalangan pemain industri halal,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kolej UNITI Port Dickson dan UHAC atas sumbangan dalam pembangunan pendidikan halal, khususnya sebagai antara institusi perintis yang menawarkan program Diploma Pengurusan Industri Halal pada 2013.

Pada masa sama, pendidikan dan latihan halal perlu dikembangkan sebagai satu bidang berpotensi tinggi di peringkat antarabangsa dengan memanfaatkan pengalaman serta kepakaran Malaysia dalam pembangunan sistem dan pensijilan halal.

RAKAN strategik PEH26 diraikan pada majlis makan malam penghargaan.
RAKAN strategik PEH26 diraikan pada majlis makan malam penghargaan.

Beliau turut mencadangkan supaya sektor halal disinergikan dengan kekuatan Malaysia dalam bidang lain seperti kewangan Islam dan pelancongan bagi mewujudkan ekosistem ekonomi Islam yang lebih besar dan bersepadu.

Beliau yakin usaha menggabungkan kepakaran dalam pelbagai sektor itu mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang menawarkan model ekosistem halal menyeluruh dan menjadi rujukan dunia pada abad ke-21.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!