Dewan Rakyat gamat Ahli Parlimen, menteri berbalas pantun

KUALA LUMPUR - Sesi persidangan Dewan Rakyat pada Selasa mencuri perhatian apabila beberapa ahli Parlimen dan menteri saling berbalas pantun ketika sesi soal jawab berlangsung pada Selasa.
Suasana itu dimulakan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad selepas selesai menjawab soalan yang dikemukakan.
"Burung merpati terbang sekawan, hinggap sebentar di pohon jati, pantun semalam jadi bualan, jangan disimpan di dalam hati," ujarnya dalam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, kekecohan tercetus ketika Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pemansuhan tol merupakan janji PH dan BN tidak pernah membuat janji tersebut.
Ahmad kemudian membacakan pantun yang menyeru orang ramai menyokong BN dan Perikatan Nasional (PN) jika tidak mahu 'kena kencing', ungkapan yang bermaksud kena tipu.
Kemudian diikuti Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika bertanyakan soalan nombor enam kepada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Yang kalah jangan koyak, yang menang jangan bongkak, soalan enam saya bawak, minta menteri jawab pulak,” katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh pula menjawab pantun yang diberikan Abdul Rahman, ketika sesi akhir sesi soal jawab menteri.
"Saya pun nak berpantun jugalah. Burung merpati terbang sekawan, hinggap sebentar di pohon jati, bila bersama dalam kerajaan, jagalah adab, jagalah hati.
"Ada lagi satu, saya nak jawab pada Lipis. Buah bambangan sedap dimakan, dihidang dengan sambal belacan, kalau dah nekad tak nak berkawan, jangan jadi gunting dalam lipatan kepada kawan-kawan dalam kerajaan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

