Orang lain langgar, kita pula tanggung rugi

BAYANGKAN bertahun-tahun membayar insurans kenderaan tanpa pernah membuat tuntutan tetapi segala kelebihan akhirnya lenyap hanya kerana kecuaian orang lain.
Lebih menyakitkan hati, individu melanggar didapati tidak mempunyai insurans sah, malah gagal hadir ke balai polis untuk membuat laporan.
Mangsa akhirnya berdepan dua pilihan pahit, menanggung sendiri kos pembaikan atau membuat tuntutan insurans sendiri sehingga berisiko kehilangan diskaun tanpa tuntutan (NCD).
Merak Jalanan tidak setuju pengguna yang mematuhi undang-undang pula terpaksa membayar harga atas kesalahan pihak lain.
Beberapa pengalaman dikongsi pengguna di media sosial memperlihatkan bagaimana kemalangan yang sepatutnya dapat diselesaikan melalui prosedur biasa bertukar menjadi urusan panjang dan membebankan.
Lebih membimbangkan, ketiadaan kerjasama pihak terbabit menyebabkan mangsa terus menunggu perkembangan siasatan tanpa kepastian.
Merak Jalanan berpandangan, keberkesanan penguatkuasaan bukan sekadar diukur melalui jumlah saman tetapi kecekapan menyiasat dan memastikan pihak bertanggungjawab tidak terlepas daripada tindakan.
Pihak insurans pula wajar menilai semula mekanisme tuntutan apabila pihak bersalah tidak mempunyai perlindungan sah bagi mengelakkan mangsa kehilangan NCD.
Sudah tiba masanya jurang perlindungan ini diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa, pengawal selia dan industri insurans.
Jangan sampai undang-undang hanya menjadi beban kepada mereka yang patuh, sedangkan sikap mereka yang ingkar terus merugikan orang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
