Bali ada sesuatu yang Malaysia boleh contohi

NAMA Bali sudah cukup sinonim sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Pulau yang terkenal dengan pantai mempesonakan, sawah padi menghijau dan budaya masyarakat yang masih utuh itu menerima jutaan pelancong setiap tahun.
Begitupun, di sebalik keindahan alam dan keunikan budayanya, terdapat satu pengalaman yang mungkin tidak begitu banyak diperkatakan tetapi cukup meninggalkan kesan kepada pengunjung, iaitu budaya toleransi masyarakatnya ketika berada di jalan raya.
Sepanjang beberapa hari mengelilingi kawasan pelancongan seperti Denpasar, Kuta, Seminyak dan Canggu, perkara yang paling ketara ialah sikap pengguna jalan raya yang begitu berdisiplin serta saling menghormati.
Walaupun jumlah motosikal di Bali sangat banyak sehingga memenuhi hampir setiap ruang jalan, aliran trafik masih bergerak lancar.
Pemandu kereta dan penunggang motosikal dilihat tidak terburu-buru, malah sentiasa memberi laluan kepada pengguna lain tanpa bunyi bingit hon secara berlebihan.
Keadaan itu mungkin kelihatan biasa bagi penduduk tempatan, namun bagi pelancong, ia memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza. Kesabaran yang dipamerkan menjadikan perjalanan lebih tenang walaupun terpaksa meredah laluan yang sesak, terutama pada waktu puncak.
Sikap bertolak ansur itu secara tidak langsung membentuk budaya pemanduan yang lebih selamat. Tidak hairanlah ramai pelancong memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi menikmati suasana pulau ini tanpa perlu memandu sendiri.
Aplikasi e-hailing seperti Grab dan Gojek digunakan secara meluas, sama ada untuk perjalanan menggunakan motosikal mahupun kereta.
Tambangnya pula sangat berpatutan. Dengan kos yang rendah, pelancong boleh bergerak dari hotel ke lokasi pelancongan, restoran atau pusat beli-belah tanpa perlu memikirkan soal parkir atau kesesakan lalu lintas.
Lebih menarik, sistem aplikasi yang digunakan turut memaparkan maklumat lengkap pemandu, nombor pendaftaran kenderaan dan laluan perjalanan secara masa nyata sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna.
Bagi pelancong Muslim, satu lagi kelebihan yang menjadikan Bali destinasi pilihan ialah kemudahan mendapatkan makanan halal.
Walaupun pulau ini majoritinya didiami masyarakat beragama Hindu, warung dan restoran halal boleh ditemui dengan mudah melalui carian di Google Maps. Hampir setiap kawasan pelancongan mempunyai pilihan restoran halal yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan seperti nasi campur, ayam penyet, sate, bakso, mi ayam dan makanan laut segar.
Kemudahan teknologi itu memudahkan pelancong merancang perjalanan tanpa perlu bimbang mencari tempat makan yang sesuai. Kebanyakan restoran turut memaparkan ulasan pelanggan, gambar makanan serta waktu operasi, sekali gus membantu pelancong membuat pilihan mengikut bajet dan cita rasa.
Hakikatnya, keistimewaan Bali bukan hanya terletak pada panorama alam yang indah atau kekayaan budayanya.
Pulau ini turut memperlihatkan bagaimana sikap saling menghormati, kemudahan sistem pengangkutan yang cekap, akses mudah kepada makanan halal dan pengalaman membeli-belah mesra pelanggan mampu melengkapkan sebuah percutian.
Bagi Malaysia, beberapa aspek di Bali wajar dicontohi dalam memperkukuh sektor pelancongan. Antaranya ialah budaya pengguna jalan raya yang berhemah, kemudahan e-hailing yang cekap serta akses mudah kepada maklumat dan makanan halal yang memudahkan pergerakan pelancong.
*Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
