Malaysia sokong kerjasama global pacu pembangunan vaksin Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyokong penuh kerjasama global untuk memacu pembangunan dan pengeluaran peralatan serta vaksin bagi melawan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara turut memberi komitmen untuk menjadi sebahagian daripada usaha mengeluarkan peralatan dan vaksin itu apabila sudah siap.

"Saya menggesa pemimpin di seluruh dunia, pihak berkepentingan, sektor swasta dan komuniti sains untuk menyokong usaha penting ini bagi memerangi perang melawan Covid-19," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan secara langsung di sini malam ini.

Inisiatif yang dihoskan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom dan Presiden Kesatuan Eropah itu bertujuan mempercepatkan pelaksanaan, pengeluaran dan akses sama rata kepada vaksin dan rawatan Covid-19.

Selain Muhyiddin, beberapa pemimpin negara lain yang dijemput ialah Presiden Perancis, Presiden Afrika Selatan, Canselor Jerman, Presiden Costa Rica, Presiden Rwanda, Perdana Menteri Norway, Perdana Menteri Sepanyol, Pemerintah Arab Saudi, Perdana Menteri Itali, Yayasan Bill dan Melinda, Vaccine Alliance dan Bank Dunia.

Siaran langsung pelancaran inisiatif itu turut dikongsi di laman sesawang PBB dan WHO pada jam 9 malam tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Covid-19 telah mempengaruhi kehidupan penduduk termasuk ekonomi global yang tidak pernah dialami dalam sejarah dunia.

"Satu-satunya cara untuk menghancurkan musuh yang tidak dapat dilihat ini ialah melalui perpaduan dan kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Dunia perlu bersatu untuk menyelaraskan segala usaha kita dan mempercepatkan pembangunan peralatan yang berkesan untuk menghentikan penyakit ini," ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, peranan yang dimainkan oleh PBB menjadi salah kekuatan kepada dunia untuk membendung wabak tersebut.

"Dengan ini kita dapat memastikan bahawa senjata yang bakal digunakan dalam peperangan yang kita perjuangkan ini nanti akan dapat menjangkau semua orang, di mana sahaja, pada masa sesingkat mungkin," ujarnya.