Johor ambil serius kes kantin 'cekik darah'

Aminolhuda menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar.
Aminolhuda menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor tidak menerima sebarang aduan tentang kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, bagaimanapun, pihaknya tetap memandang serius sekiranya isu berkenaan wujud.

Menurutnya, setakat ini, isu berkenaan hanya diterima di peringkat Pusat.

"Sehingga kini tiada aduan diterima (kenaikan harga kantin) di sekolah di negeri ini seperti mana berlaku di negeri lain.

"Jika ia berlaku semakan semula perjanjian perlu dilakukan antara pengusaha kantin dan pentadbir sekolah berdasarkan tender dipersetujui sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung aduan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses tender bagi menjual makanan di kantin sekolah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan dan untuk sesuatu syarikat atau peserta mengambil bahagian, mereka disyaratkan memasukkan cadangan harga makanan yang akan dijual.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pengumuman Analisis Pencapaian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Madrasah Al-Atas Alarabiah Johor di Ulu Tiram, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Aminolhuda meminta, pengurusan sekolah melihat perbandingan harga sebelum tender diberikan kepada pengusaha kantin.

"Sepatutnya (pihak pentadbir sekolah) melihat perbandingan harga tahun lalu sama ada terdapat kenaikan harga atau sebaliknya ketika tender dibuka.

"Sekiranya tidak menepati perjanjian sebut harga dipersetujui bersama kedua-dua pihak, maka sewajarnya perlu mengikut apa dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya pengusaha kantin menaikan harga makanan sedangkan mereka sudah ada pelanggan tetap yang ramai.

"Pengusaha kantin sudah pasti mempunyai pelanggan tetap berbanding peniaga seperti di warung yang perlu menunggu pelanggan datang.

"Bilangan pelajar bagi setiap sekolah menjangkau 500 hingga 1,000 pelajar dan sepatutnya boleh beri harga munasabah.

"Malah, mengambil kira kos sewaan yang rendah sewajarnya pengusaha kantin perlu memberikan harga dan perkhidmatan terbaik," katanya.