Di sebalik 18 kerusi UMNO, ada sokongan Pas

LEBIH daripada sekadar kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 memperlihatkan bagaimana kerjasama UMNO dan Pas mengubah struktur persaingan melalui pengurangan pertembungan, penyatuan jentera serta pemindahan sokongan antara kedua-dua parti.
BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 18 kerusi dimenangi UMNO, dua MCA dan satu MIC. PN pula memperoleh tiga kerusi, iaitu dua menerusi Pas dan satu Wawasan, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi empat kerusi, kesemuanya menerusi DAP.
Keputusan ini menunjukkan bahawa pengundi tidak menilai pilihan raya berdasarkan calon semata-mata. Kestabilan politik, rekod pentadbiran, kekuatan organisasi dan kemampuan gabungan menawarkan kerajaan yang berfungsi turut memainkan peranan. Dalam konteks Melaka, penyatuan UMNO-Pas muncul sebagai faktor terpenting yang membentuk keputusan tersebut.
UMNO kekal sebagai tulang belakang BN, manakala Pas menjadi komponen penting PN dalam menggerakkan sokongan Melayu-Islam. Lebih penting, kedua-duanya tidak lagi berhadapan sesama sendiri seperti pada PRN 2021.
Pas mencatat kejayaan penting apabila memenangi kerusi Paya Rumput dan Bukit Katil. Di Paya Rumput, Rafie Ahmad menewaskan calon PKR, Datuk Azman Abidin, dengan majoriti 7,185 undi. Di Bukit Katil pula, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif menewaskan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, dengan majoriti 6,607 undi.
Kemenangan di Bukit Katil mempunyai nilai sejarah kepada Pas. Kali terakhir parti itu mempunyai wakil dalam DUN Melaka ialah pada PRU13 pada 2013 apabila Md Khalid Kassim memenangi kerusi Bukit Baru dengan majoriti 48 undi. Kerusi itu kemudiannya dikenali sebagai Bukit Katil selepas persempadanan semula.
Di pihak BN, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mempertahankan kerusi Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi. Begitu juga dengan hampir semua kerusi BN lain yang mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah majoriti, dipercayai hasil penyatuan UMNO-Pas.
Pada PRN 2021, dua kerusi PN di Melaka dimenangi calon Bersatu. Dalam PRN kali ini, Bersatu bertanding di tujuh kerusi tetapi gagal memenangi sebarang kerusi, malah lima calonnya kehilangan wang deposit.
Hanya calon di Lendu dan Pantai Kundor berjaya mengekalkan deposit. Pantai Kundor menjadi pencapaian terbaik apabila calon Bersatu tewas dengan majoriti 2,752 undi.
Keputusan ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kekuatan Bersatu pada PRN lalu berkait dengan platform PN dan sokongan gabungan bersama Pas. Apabila bertanding di luar kerangka tersebut, prestasinya merosot dengan ketara.
PH bertanding di 24 kerusi tetapi hanya empat calonnya berjaya menang. Keputusan ini menunjukkan bahawa calon berprofil tinggi atau mempunyai hubungan dengan Kerajaan Persekutuan tidak semestinya memperoleh kelebihan secara automatik.
PKR dan Amanah pula tidak tumbang secara total sehingga kehilangan semua sokongan. Kedua-duanya masih memperoleh undi di banyak kawasan, tetapi gagal menukarkan sokongan itu kepada kemenangan. PKR tewas di kesemua 10 kerusi yang ditandinginya, manakala Amanah gagal memenangi kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya. Sebaliknya, DAP memenangi empat daripada tujuh kerusi yang ditandingi.
Corak tersebut menunjukkan bahawa kekuatan PH yang masih bertahan di Melaka tertumpu pada DAP, khususnya di kawasan bandar seperti Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. DAP masih mempunyai tapak sokongan kukuh di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai komposisi pengundi Cina yang tinggi, walaupun sebahagian daripada mereka tidak keluar mengundi.
Namun begitu, sokongan itu tidak semestinya berpindah kepada calon PKR atau Amanah. Machap Jaya menjadi contoh apabila calon MCA memperoleh 6,686 undi berbanding 4,450 undi yang diraih calon PKR, sekali gus mencatatkan majoriti 2,236 undi.
Ini memberi petunjuk bahawa sebahagian pengundi Cina yang selesa menyokong DAP tidak semestinya mempunyai tahap keyakinan yang sama terhadap calon PH daripada parti lain.
Keputusan BN di banyak kerusi yang tidak ditandingi Pas pula memberi petunjuk bahawa sebahagian besar penyokong Pas bersedia memindahkan undi kepada calon BN apabila wujud persefahaman politik. Corak keseluruhan keputusan konsisten dengan kewujudan kebolehpindahan undi antara kedua-dua blok.
Keputusan Melaka juga sukar dipisahkan daripada kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH dan Presiden PKR. Kegagalan PKR memenangi sebarang kerusi, termasuk kekalahan Setiausaha Politik Perdana Menteri di Paya Rumput, merupakan tamparan politik besar kepada kepimpinan PH di bawah Anwar. Ini kerana Anwar bersama isteri dan pemimpin utama PKR lain bersungguh-sungguh berkempen untuk Azman.
Di Paya Rumput, Anwar sendiri mengetengahkan hubungan langsung Azman dengan Putrajaya sebagai kelebihan kepada pengundi. Dengan berbuat demikian, beliau turut mempertaruhkan pengaruh politiknya. Kekalahan Azman dengan majoriti 7,185 undi menunjukkan betapa terbatasnya daya tarikan tawaran tersebut.
Di Bukit Katil, pengalaman Adly sebagai bekas Ketua Menteri dan penyandang kerusi itu selama dua penggal juga gagal menyelamatkan PH. Di Machap Jaya, seorang lagi bekas wakil rakyat PH turut tewas. Kekalahan di ketiga-tiga kawasan itu memberi alasan kukuh untuk PH menilai semula andaian bahawa nama besar dan sokongan pimpinan pusat mampu mengatasi masalah kepercayaan di peringkat akar umbi.
Anwar pernah menjadi wajah reformasi PH. Sebagai Perdana Menteri, beliau kini dinilai berdasarkan hasil pentadbirannya. Seruan reformasi dalam ceramah perlu dijawab dengan tindakan menangani kos sara hidup.
Penegasan tentang integriti pula membawa tanggungjawab untuk menjelaskan secara terbuka peranan beliau dalam proses pengampunan Datuk Seri Najib Razak dan kontroversi tahanan rumah. Apabila isu tersebut mendominasi perbahasan awam, pimpinan PH perlu menerangkan bagaimana tindakan kerajaan selaras dengan prinsip tatakelola yang dijanjikannya.
Melaka juga menyusuli dua keputusan negeri yang sukar bagi PH. Di Johor, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi. Di Negeri Sembilan, BN dan PN meraih 25 daripada 36 kerusi. Di Melaka, kedua-duanya menguasai 24 daripada 28 kerusi. Anwar terlibat dalam kempen PH di ketiga-tiga negeri ini.
Corak keputusan itu wajar mendorong pimpinan PH menilai sejauh mana kehadiran beliau masih membantu calon mereka mendapatkan sokongan. Jika strategi kempen terus bergantung pada tokoh yang sama, PH perlu menjelaskan mengapa pendekatan itu wajar diulangi selepas tiga kekalahan berturut-turut.
Soalan yang lebih sukar ialah sama ada Anwar masih menjadi aset elektoral PH atau sudah menjadi beban di kawasan yang perlu dimenangi gabungan itu. Jika kepimpinan PH mahu memulihkan keyakinan pengundi, penilaian selepas pilihan raya mesti merangkumi strategi dan prestasi pengerusinya sendiri.
PRN Melaka akhirnya memberikan dua mesej penting. Pertama, penyatuan UMNO-Pas membolehkan kedua-duanya memanfaatkan kekuatan masing-masing. Kedua, PH berhadapan cabaran serius untuk mengembangkan kekuatan PKR dan Amanah di luar kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu.
Cabaran kepada UMNO dan Pas kini ialah memastikan kedua-duanya saling mengiktiraf sumbangan antara satu sama lain dan tidak menjadi besar kepala dengan kemenangan ini, seolah-olah kejayaan tersebut berpunca daripada kekuatan sendiri semata-mata.
Pas khususnya banyak berkorban kali ini apabila bersedia bertanding hanya di dua kerusi, walaupun persiapan awal telah dibuat untuk meletakkan calon di lebih separuh kerusi. Malah, kaji selidik awal juga menunjukkan Pas mempunyai peluang cerah untuk menang walaupun bertanding secara bersendirian.
Bagi UMNO, kelemahan PH tidak boleh dijadikan alasan untuk mengecilkan sumbangan Pas. Kemenangan 18 kerusi UMNO dicapai ketika Pas mengehadkan pencalonannya kepada dua kerusi dan kedua-dua parti mengelakkan pertembungan sesama sendiri.
Jika UMNO mahu mengulangi kejayaan di Melaka, pengiktirafan terhadap sumbangan Pas perlu diterjemahkan dalam rundingan kerusi dan layanan terhadap rakan kerjasamanya selepas pilihan raya.
Sehubungan itu, formula sama seperti di Melaka, iaitu kerusi penyandang dikekalkan, diharapkan dapat diteruskan dalam pengagihan kerusi Parlimen dan DUN di negeri-negeri lain. Kerusi yang dimenangi PH atau Bersatu boleh dijadikan ruang untuk rundingan.
Jika kerjasama ini mampu dikekalkan, peluang untuk menyaksikan PH tumbang di peringkat nasional dan di negeri-negeri lain dilihat amat cerah.
*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
