Disambar buaya ketika menjala, Muhammad Zarith masih trauma setiap kali banjir

TELUK INTAN - Setiap kali banjir, ingatan Muhammad Zarith Hafizi pasti terkenang detik cemas diserang buaya ketika menjala di Kampung Sungai Buaya, Kampung Gajah, di sini tahun lepas.
Mengimbau insiden ngeri berkenaan, pemuda berusia 29 tahun itu berkata, apa yang berlaku pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila meskipun terselamat daripada amukan reptilia ganas itu.
Manakan tidak, tragedi itu meninggalkan kesan mendalam terhadap keupayaan fizikalnya hingga kini akibat cedera parah pada paha dan lutut kiri.
Muhammad Zarith berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 9 pagi ketika dia bersama seorang rakan menuju ke kawasan tali air yang bersambung dengan Sungai Perak, dengan niat asalnya untuk memancing.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, bagaimanapun niat berkenaan berubah secara spontan selepas melihat banyak kelibat ikan "bermain” di kawasan berhampiran tebing sungai berkenaan.
"Setiap kali banjir, lokasi itu memang jadi tumpuan kami untuk memancing, namun apabila melihat terlalu banyak ikan bermain di air, saya bergegas pulang ke rumah yang terletak tidak jauh untuk mengambil jala.
"Selepas itu, saya kembali turun ke tebing manakala rakan menunggu di atas. Sebaik sahaja mahu menebar jala, kaki kiri saya tiba-tiba disambar dan ditarik laju, mujur rakan sempat menarik saya naik ke tebing," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Padang Tembak, di sini.
Meskipun berlaku sekelip mata, bekas juruukur itu berkata, dia dapat merasai kekuatan rentapan haiwan berkenaan yang sememangnya penghuni di kawasan tersebut.
Ujarnya, sebaik sahaja naik ke tebing, darah mengalir dengan banyak dan terdapat cebisan daging yang dapat dilihat tersiat daripada kulit kaki.
Menurut Muhammad Zarith, insiden berkenaan menyebabkannya mengalami kecederaan parah pada bahagian paha serta lutut dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan selama sembilan hari.
Tambahnya, walaupun telah sembuh namun kecederaan tersebut telah membataskan keupayaan fizikalnya sehingga dia tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Muhammad Zarith berkata, buat masa ini dia hanya membantu perniagaan orang tuanya serta melakukan kerja-kerja kampung secara kecil-kecilan, manakala isterinya turut membuat kuih-muih untuk menambah pendapatan harian.
"Saya harap kalau ada bantuan termasuk peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan saya ini, sekurang-kurangnya dapatlah kami meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas apa yang berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zarith menasihatkan orang ramai terutama kaki pancing dan penduduk yang mencari rezeki di sungai ketika musim banjir supaya sentiasa berwaspada kerana insiden luar jangka termasuk serangan buaya boleh berlaku tanpa diduga.
"Siapa kata buaya di Semenanjung Malaysia tak serang manusia sedangkan saya sendiri antara yang menjadi mangsa, jadi saya harap mana-mana kaki pancing atau penduduk kampung yang mencari rezeki di Sungai Perak supaya sentiasa berhati-hati.
"Pastikan keselamatan diri diutamakan dan kalau boleh keluarlah bersama rakan-rakan supaya sekiranya berlaku sebarang kejadian luar jangka, ada pihak yang boleh segera menghulurkan bantuan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
