Bantuan IM Pahang Kluster Siswa naik RM500 tahun depan - Menteri Besar

Wan Rosdy menjadi tetamu sesi townhall sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026. - FOTO: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy menjadi tetamu sesi townhall sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026. - FOTO: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Pahang bersetuju menaikkan bantuan inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa dari RM400 kepada RM500 mulai tahun depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenaikan itu diluluskan susulan permohonan yang dikemukakan mahasiswa secara langsung dalam sesi Townhall sempena Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026.

Menurutnya, kenaikkan inisiatif itu akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027 sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban kewangan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

“Ada yang Tok Wan luluskan serta-merta. Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan negeri memberi bantuan ini secara sekali bayar RM400, tetapi tahun depan mereka minta dinaikkan kepada RM500.

“Tadi Tok Wan telah umumkan perkara itu akan dimasukkan dalam belanjawan tahun depan, bermakna mereka akan mendapat bantuan sebanyak RM500 berbanding RM400 sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan Pahang Media.

Wan Rosdy sebelum itu hadir merasmikan Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu.

Wan Rosdy bersama mahasiswa anak Pahang pada Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di PICC, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy bersama mahasiswa anak Pahang pada Konvensyen Bakti Negeri Siswa Pahang Apresiasi Pahang 1st 2026 di PICC, Putrajaya pada Sabtu. - FOTO: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

Pada program itu, Wan Rosdy berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama kira-kira 1,500 anak-anak mahasiswa Pahang.

Program anjuran Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) menghimpunkan mahasiswa anak Pahang yang sedang menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.

Sementara itu Wan Rosdy berkata, keputusan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa terbuka mendengar pandangan dan cadangan mahasiswa, khususnya dalam usaha memperkukuh kebajikan serta pembangunan modal insan Anak Pahang.

Jelasnya, selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan menerusi Yayasan Pahang bagi membuka lebih banyak peluang kepada Anak Pahang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, beliau berkata, peluang pembangunan kemahiran dan kebolehpasaran graduan terus diperkasakan menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk melalui Pahang Skills, Pahang Talent Development dan Akademi Rel Pahang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!