Anak Menteri Besar Kedah patah tulang rusuk, empat jari akibat kemalangan

Anak Menteri Besar Kedah dibawa ke HSB akibat kemalangan. Foto tular
Anak Menteri Besar Kedah dibawa ke HSB akibat kemalangan. Foto tular
A
A
A

ALOR SETAR - Anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan mengalami kecederaan pada muka dan kepala selain patah tulang rusuk serta empat jari akibat kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol pada petang Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, anak ketiganya itu kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi membolehkan doktor memantau keadaannya serta melakukan pemeriksaan lanjut mengesan kemungkinan berlaku kecederaan dalaman.

“Masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu buat pemantauan rapi terlebih dahulu, esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, anaknya yang merupakan pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran ‘fast track’ bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Pokok Sena.

Bagaimanapun, peperiksaan SPM yang dijadualkan bermula 23 November ini kemungkinan tidak dapat diduduki olehnya berikutan kecederaan pada tangan kanan.

“Sepatutnya dia akan duduki SPM... nampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berusia 20 tahun menunggang motosikal Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sehingga menyebabkannya terbabas ke dalam longkang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!