Banjir: Penternak ikan tambat sangkar pada pokok elak rugi

KUALA BERANG - Seorang penternak ikan dalam sangkar di Kampung Tanggol, di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menambat 10 sangkar ternakannya pada pokok besar di tebing Sungai Tanggol bagi mengelak dihanyutkan air deras Sungai Kuala Berang.
Mohd Azlan Harun, 38, berkata, langkah itu sebagai persediaan awal bagi mengelak kerugian besar sekiranya berlaku hujan lebat di kawasan hulu yang menyebabkan paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.
Beliau yang sudah 12 tahun mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar berkata persediaan tersebut dilakukan sebaik bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada hujung bulan lepas, berikutan pengalaman berdepan banjir besar sebelum ini.
"Keseluruhan terdapat 60 sangkar ikan tilapia, baung, keli dan patin. Ada peringkat anak ikan, ikan berusia lima bulan dan yang sudah matang.
"Setiap sangkar ada 2,000 ikan. Paling banyak ialah sangkar ikan baung, diikuti patin, tilapia dan keli. Kesemua sangkar ini memang tak pernah kosong kerana selepas tuaian, saya akan terus lepaskan anak ikan untuk pastikan stok untuk pelanggan sentiasa ada. Oleh itu usaha awal penting untuk elak kerugian yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit," katanya ketika ditemui di Sungai Tanggol, dekat sini hari ini.
Mohd Azlan berkata, beliau juga sentiasa memastikan struktur sangkar seperti tali dan rangka masih kuat dan mampu bertahan daripada arus kuat.
Sebagai langkah tambahan, pemberat juga dipasang pada struktur sangkar yang telah diikat bagi mengekalkan kedudukan dan kestabilan sangkar ketika berlaku limpahan air atau arus kuat.
"Sebelum MTL bermula, saya sudah tukar tali baharu, ganti komponen yang rosak dan kuatkan semula rangka sangkar. Kalau sangkar hanyut, bukan sahaja rugi (dari segi) ikan malah modal struktur pun lebur.
"Tiga tahun lepas saya kerugian lebih RM30,000 apabila banyak ikan mati disebabkan pemberat pukat yang pecah akibat air laju. Sebab itu penting untuk pastikan semua struktur dalam keadaan baik dan kuat sebelum masuk musim tengkujuh," katanya yang dibantu lima pekerja.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, permintaan terhadap ikan sangkar terutama baung dan patin masih tinggi walaupun pada musim tengkujuh.
Selain pasaran tempatan, hasil ternakannya turut dihantar kepada pengusaha restoran dan pembekal ikan di sekitar Temerloh, Pahang dan Puchong, Selangor.
Menurut Mohd Azlan, ikan baung yang bersaiz antara 800 hingga 1.2 kilogram (kg) seekor dijual pada harga RM20 sekilo, patin (RM16), tilapia (RM17) dan keli (RM10).
"Untuk musim tengkujuh kita juga akan tukar kedudukan sarang antara anak ikan, ikan dewasa dan ikan matang. Anak ikan lebih berdaya tahan terhadap arus deras, berbeza dengan ikan dewasa atau yang sudah matang. Apabila arus terlalu kuat, risiko untuk ikan dewasa dan matang luka serta mati agak tinggi kerana berlaku pergeseran dengan pukat.
"Ikan yang sudah matang juga perlu dituai segera bagi mengelak kerugian sekiranya banjir besar tiba-tiba berlaku. Sebagai pengusaha ikan sangkar, penting untuk kita mengikuti perkembangan cuaca pada setiap masa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
