MAIDAM rancang tubuh pusat hemodialisis di Terengganu guna dana wakaf tunai

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merancang untuk menubuhkan sebuah pusat hemodialisis peringkat negeri menerusi manfaat kutipan dana wakaf tunai bagi meringankan beban kos rawatan tinggi yang ditanggung pesakit, khususnya golongan asnaf.

​Yang Dipertua (YDP) MAIDAM, Datuk Zulkifli Ali berkata, dana wakaf tunai yang dikumpul daripada orang ramai akan digunakan bagi memperoleh peralatan perubatan selain pihaknya berusaha menguruskan sendiri operasi pusat rawatan berkenaan.

​"Perancangan utama kita adalah untuk mewujudkan sebuah pusat hemodialisis peringkat negeri Terengganu. Sebagaimana yang kita tahu, rawatan penyakit ini memerlukan kos yang tinggi.

​"Jadi, dengan adanya sumbangan wakaf daripada orang ramai, insyaALLAH kita akan dapat meringankan bebanan pesakit-pesakit yang terlibat, terutamanya golongan asnaf kita.

"Perincian mengenai pelaksanaannya akan kita umumkan kelak," katanya ketika ditemui pada program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Sabtu.

Zulkifli (tengah) bersama Ahmad Azrin dan selebriti jemputan ketika menyertai program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada Sabtu.
Zulkifli (tengah) bersama Ahmad Azrin dan selebriti jemputan ketika menyertai program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, selain membangunkan pusat rawatan tersebut, dana wakaf tunai itu juga amat penting bagi membolehkan MAIDAM membangunkan tanah-tanah wakaf sedia ada yang terbengkalai akibat ketiadaan modal serta aset-aset kekal supaya hasilnya dapat dimanfaatkan semula kepada golongan memerlukan.

Katanya, ​bagi memperluaskan kutipan dana wakaf tunai yang sebelum ini kurang diberi keutamaan, beliau memaklumkan pihaknya bakal melancarkan kerjasama bersama masjid-masjid di seluruh negeri dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

​Terdahulu, penganjuran sulung MAIDAM Waqf Run 2026 pada Sabtu berjaya menghimpunkan seramai 1,044 peserta dengan rekod kutipan sumbangan Wakaf Tunai berjumlah RM81,577.85.

​Zulkifli berkata, penganjuran tersebut merupakan satu permulaan dan pihaknya merancang menjadikannya sebagai acara tahunan dengan peluasan ke setiap daerah pada tahun hadapan sebelum kemuncak acara diadakan di Kuala Terengganu.

​Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, pencapaian kutipan pada program tersebut membuktikan keprihatinan dan komitmen masyarakat dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam melalui instrumen wakaf.

Ahmad Azrin
Ahmad Azrin

​Menurutnya, selain pusat hemodialisis dan aset wakaf, dana yang diterima menerusi peruntukan Wakaf dan Sumber Am MAIDAM turut disalurkan bagi menyokong inisiatif kebajikan merangkumi bantuan anak yatim, penyelenggaraan kubur, peralatan pengurusan jenazah, program keagamaan di masjid dan surau serta bantuan kepada sekolah agama.

​"Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui pelbagai saluran disediakan termasuk kaunter pembayaran, tabung wakaf, JomPAY, FPX, kod QR DuitNow serta potongan gaji dengan setiap sumbangan layak menikmati pelepasan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk syarat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), "ujarnya.

Sebahagian peserta yang menyertai program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada Sabtu.
Sebahagian peserta yang menyertai program MAIDAM Waqf Run 2026 di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu pada Sabtu.

Program MAIDAM Waqf Run 2026​ turut dimeriahkan dengan pengisian kerohanian menerusi slot 'Solat Subuh Macam Jumaat' anjuran bersama KMI Healthcare yang disertai Duta Selebriti KMI Healthcare, Alif Satar serta tazkirah khas oleh Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang.

​Selain menikmati tarikan di TTI seperti Taman Monumen, TTI River Cruise dan TTI Mini Zoo, MAIDAM turut mengadakan Sesi Pengiktirafan Rakan Strategik kepada organisasi terlibat iaitu KMI Healthcare, Permodalan Wakaf Nasional Berhad (PWNB), TTI Management Sdn Bhd, Kelab Olahraga Alam Sinergi, AFFIN Islamic Bank Berhad, MAIDAM Property Sdn Bhd (MPSB), In Saff Travel & Tours Sdn Bhd serta penaja cabutan bertuah.

​Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau berwakaf boleh melayari portal rasmi di pautan https://ewakaf.maidam.gov.my/jomwakaf/.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!