Kerajaan negeri paling maju gagal urus bencana - Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Selangor meluahkan rasa kecewa yang tidak terhingga terhadap sikap kerajaan negeri dan persekutuan yang jelas culas dan sambil lewa dalam menangani isu banjir.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, tragedi bah yang kembali melanda Kampung Melayu Subang baru-baru ini menjadi bukti nyata dan tamparan hebat betapa lemahnya keupayaan urus tadbir kerajaan pada hari ini.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) telah menerajui Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008 dan dua dekad memegang kuasa mutlak, persoalan besar yang wajib dijawab ialah mengapa isu pengurusan bencana asas dan infrastruktur perparitan ini masih gagal diselesaikan dan terus membarah.
"Di manakah letaknya kebanggaan slogan 'Negeri Maju' dan status kononnya sebagai negeri paling kaya di Malaysia yang mana pada realitinya, pengurusan bencana dan penilaian risiko negeri berada pada tahap yang sangat mendukacitakan, persis tata kelola sebuah negeri mundur.
"Rakyat Selangor sekadar dibuai dengan lambakan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang megah di atas kertas, namun saban tahun terpaksa meredah air bah menyelamatkan nyawa dan harta benda," katanya dalam satu kenyataan.
Aubidullah Fahim berkata lebih dikesalkan, kegagalan urus tadbir tersebut mencetuskan trauma berpanjangan dan pihaknya mempersoalkan apakah tindakan tuntas yang sedang dilakukan oleh menteri besar bagi menenteramkan emosi dan keresahan penduduk terjejas.
"Rakyat pada hari ini terpaksa tidur dalam keadaan penuh ketakutan, trauma dan tertekan memikirkan ancaman air banjir yang boleh merempuh masuk secara tiba-tiba.
"Dalam masa yang sama, fikiran mereka buntu memikirkan bagaimana mahu keluar bekerja dan mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga pada keesokan harinya akibat musibah ini," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, krisis bencana perbandaran tersebut telah diburukkan lagi dengan keputusan semberono dan campur tangan politik yang tidak rasional di peringkat Persekutuan.
Tambahnya lagi, pihaknya sekali lagi mendesak Kerajaan Madani untuk bermuhasabah susulan tindakan membatalkan Projek Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM7 bilion pada Disember 2022 yang lalu.
"Perlu diimbas kembali, inisiatif mitigasi mega tersebut telah pun dirancang dengan begitu komprehensif oleh mantan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Malangnya, kerangka penyelesaian jangka panjang tersebut digagalkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya kerana sentimen prejudis dan nafsu politik melulu, tanpa mempedulikan nasib rakyat marhaen yang bakal menanggung padah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
