534 kes lemas direkodkan sejak 2025 hingga 9 November

Nor Hisham Mohammad - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM ABDUL WAHID.
Nor Hisham Mohammad - FOTO: SINAR HARIAN/HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai 473 individu maut akibat lemas dalam 534 kejadian yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang 2025 hingga 9 November tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata statistik itu menunjukkan 270 kes lemas direkodkan sepanjang tahun lalu, membabitkan 266 kematian, lapan mangsa cedera dan 90 terselamat.

"Bagi tempoh 1 Januari hingga 9 November tahun ini pula, sebanyak 264 kes direkodkan dengan 207 kematian, tiga mangsa cedera dan 86 terselamat.

"Terdapat kes di mana dalam satu kejadian, ianya membabitkan ramai mangsa dalam tempoh berkenaan, sekali gus menunjukkan risiko keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan air perlu diberikan perhatian serius," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Nor Hisham berkata, antara faktor yang menyebabkan seseorang dihanyutkan arus deras ketika kejadian kepala air ialah peningkatan mendadak isipadu dan kelajuan air susulan hujan lebat di kawasan hulu sungai.

"Keadaan itu boleh menyebabkan arus kuat menolak dan menjatuhkan seseorang dalam sekelip mata," katanya.

Beliau berkata, paras air setinggi lutut juga berupaya menyebabkan seseorang hilang keseimbangan sekiranya arus terlalu deras.

"Selain itu, dasar sungai yang licin dan tidak rata, termasuk batu berlumut, pasir bergerak serta lubang tersembunyi, turut meningkatkan risiko mangsa tergelincir sebelum dihanyutkan arus.

"Kejadian kepala air juga boleh menyebabkan mangsa panik dan gagal mengambil tindakan menyelamatkan diri dengan betul, selain berisiko dilanggar objek hanyut seperti kayu balak, ranting dan batu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebolehan berenang bukan jaminan seseorang mampu menyelamatkan diri kerana kekuatan arus kepala air lazimnya melebihi kemampuan manusia untuk melawannya.

"Antara tanda awal kejadian kepala air ialah paras air sungai meningkat secara mendadak, air berubah menjadi keruh atau berlumpur, arus semakin deras serta kedengaran bunyi guruh dari arah hulu sungai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!