Motosikal terbabas ke sungai, remaja 19 tahun ditemukan lemas

MERSING – Remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam sungai berhampiran Kolam Udang, Jalan Sekakap, Seri Pantai di sini, ditemukan meninggal dunia pagi Jumaat.
Mayat mangsa ditemukan pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 7.55 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Zainuddin Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 11.26 malam Khamis.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal yang terbabas dan mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai.
“Pasukan operasi melakukan pencarian awal di tebing sungai sebelum memohon bantuan tambahan anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai pada jam 12.45 tengah malam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, anggota PPDA dari BBP Skudai tiba di lokasi pada jam 2.41 pagi dan menjalankan pencarian di permukaan sungai sekitar lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan 15 anggota dari BBP Mersing dan BBP Skudai dengan bantuan sebuah jentera LFRT, sebuah EMRS, dua kenderaan utiliti serta sebuah bot.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal yang terbabas ke dalam Sungai Jemaluang di Jalan Sekakap pada jam 11.15 malam Khamis.
Katanya, operasi pencarian dimulakan pada malam kejadian sebelum mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 7.50 pagi Jumaat.

Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial memohon orang ramai mendoakan keselamatan mangsa yang dilaporkan terjatuh ke Sungai Jemaluang, Mersing.
Turut dikongsikan di media sosial adalah wajah dan nama mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Danish Zaquan Ahmad 'Yazir, dipercayai berasal dari Pasir Gudang dan merupakan pelajar GiatMara Mersing.
Hantaran berkenaan turut mengundang perhatian orang ramai yang menitipkan doa agar mangsa ditemukan dan urusan pasukan penyelamat dipermudahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

