1.2 tan daun ketum disumbat dalam Starex

120 bungkusan daun ketum seberat 1.2 tan yang disumbat ke dalam Hyundai Starex dirampas polis dalam dalam operasi rondaan pencegahan jenayah di Bandariang awal pagi Jumaat.
120 bungkusan daun ketum seberat 1.2 tan yang disumbat ke dalam Hyundai Starex dirampas polis dalam dalam operasi rondaan pencegahan jenayah di Bandariang awal pagi Jumaat.
A
A
A

GERIK – Polis merampas 1.2 tan daun disyaki daun ketum selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dalam operasi rondaan pencegahan jenayah di Bandariang di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam operasi kira-kira jam 1.40 pagi itu, sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah Khas menahan kenderaan berkenaan di tepi jalan bertentangan Pejabat Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bandariang.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap MPV itu menemukan 120 bungkusan plastik hitam yang mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi daun berwarna hijau disyaki ketum.

"Susulan penemuan itu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga pemandu kenderaan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah iaitu masing-masing satu kes di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Samad berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 1.2 tan dengan nilai pasaran RM48,000.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran yang terlibat.

Beliau berkata, polis akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang di daerah Hulu Perak.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!