2,000 tin gas metana cetus risiko tinggi dalam operasi padam kebakaran Pasar Borong Selangor

Operasi pemadaman membabitkan 68 anggota JBPM daripada 15 balai bomba di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dibantu 11 pasukan bomba sukarela. Foto pengguna media sosial
Operasi pemadaman membabitkan 68 anggota JBPM daripada 15 balai bomba di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dibantu 11 pasukan bomba sukarela. Foto pengguna media sosial
A
A
A

SERDANG – Operasi memadam kebakaran di Pasar Borong Selangor di sini berdepan cabaran besar, susulan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana berada dalam premis yang terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, beberapa siri letupan berlaku ketika peringkat awal operasi, namun keadaan berjaya dikawal oleh pasukan bomba.

Menurutnya, maklumat awal diterima pihaknya mendapati terdapat sejumlah besar tin gas metana disimpan di dalam premis terbabit, sekali gus meningkatkan risiko kepada anggota yang menjalankan operasi pemadaman.

"Berdasarkan penilaian di lokasi, kita dimaklumkan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis berkenaan.

"Pada peringkat awal memang berlaku beberapa siri letupan, namun kita berjaya mengawalnya," katanya ketika sidang media di lokasi kejadian.

Kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sebuah premis menjual barangan logam di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Foto pengguna media sosial
Kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sebuah premis menjual barangan logam di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. Foto pengguna media sosial

Beliau berkata, anggota bomba kini masih meneruskan operasi pemadaman di tiga stor yang terletak di bahagian belakang premis.

Ashrul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan tiba sembilan minit kemudian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.

"Operasi ini membabitkan 68 anggota JBPM daripada 15 balai bomba di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dibantu 11 pasukan bomba sukarela selain anggota polis," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi pemadaman turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.

"Susulan itu, kita menggunakan sepenuhnya bekalan air daripada jentera serta lori tangki bomba sepanjang operasi," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan akan dijalankan selepas kerja pemadaman selesai sepenuhnya.

Sebelum ini, kebakaran besar dilaporkan memusnahkan sebuah premis menjual barangan logam di kawasan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Kebakaran yang berlaku turut merebak ke beberapa premis berhampiran, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak ke bangunan utama pasar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!