Kebun keluarga jadi sumber bekalan daun ketum


KUANTAN – Taktik seorang lelaki memanfaatkan kebun milik keluarganya sebagai sumber bekalan untuk memproses dan menjual air ketum terbongkar selepas dia ditahan dalam Op Bersepadu MITRA yang bermula 21 hingga Khamis lalu.
Lelaki berusia 35 tahun itu antara dua individu tempatan yang ditahan menerusi dua serbuan berasingan oleh Cawangan Risik, Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Felda Sungai Panching Utara dan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek pertama mengaku memproses dan menjual air ketum di sekitar Felda Sungai Panching sejak Februari 2026.
"Suspek mengaku memproses dan menjual air ketum di sekitar Felda Sungai Panching dengan harga RM10 bagi setiap bungkusan menggunakan daun ketum yang diperoleh daripada kebun milik keluarganya sendiri.
"Kegiatan yang dilakukan oleh suspek sejak Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Radzi memaklumkan, dalam dua serbuan berasingan itu, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun.
Jelasnya, suspek terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan air ketum sejak 2018 sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Suspek mengaku memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang individu tempatan.
"Pelanggan utamanya terdiri daripada nelayan tempatan yang mendapatkan bekalan seawal jam 5 pagi sebelum hasil jualan habis dipasarkan pada hari sama,” jelasnya.
Menurutnya, susulan penahanan itu, pelbagai barangan dipercayai digunakan bagi aktiviti memproses dan menjual air ketum turut dirampas termasuk 74 liter air ketum, 8.5 kilogram daun ketum serta peralatan pemprosesan.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM3,740.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952
"Kesemua tangkapan dan barang kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

