Anggota APM cedera jatuh motor elak anjing

Iwan (tengah) sambil ditemani isteri, Zariah menceritakan keadaannya kepada Zairul Anuar yang hadir ke rumahnya menyampaikan sumbangan.
Iwan (tengah) sambil ditemani isteri, Zariah menceritakan keadaannya kepada Zairul Anuar yang hadir ke rumahnya menyampaikan sumbangan.
A
A
A

IPOH - Malang tidak berbau. Itulah yang berlaku kepada seorang petugas barisan hadapan apabila terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan bertugas di Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, di sini, 22 April lalu.

Iwan Mohd Hanafiah, 49, yang merupakan anggota APM patah tangan kanan, patah tulang rusuk kanan dan luka pada beberapa bahagian badan selepas terjatuh daripada motosikal ketika cuba mengelak anjing melintas dalam kejadian pada Rabu lalu itu.

Katanya, kejadian pertama kali dialami sejak 10 tahun berkhidmat bersama APM itu menyebabkan dia terpaksa duduk di rumah selama sekurang-kurangnya tiga bulan untuk memastikan kecederaan pulih.

"Apa yang terjadi ini betul-betul dugaan bulan Ramadan. Mungkin ada hikmah di sebaliknya ujian yang ALLAH bagi ini. Cuma saya sedih tak dapat nak bantu rakan-rakan bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Saya masuk APM dengan niat untuk membantu masyarakat. Alhamdulillah sepanjang PKP sebelum ini saya dapat menyumbang tenaga sebagai barisan hadapan," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan APM Perak di rumahnya di Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Hadir sama ketika kunjungan itu, Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji dan Pegawai APM Daerah Kinta, Kapten (PA) Muhammed Ameen Salleh Mura.

Iwan yang juga bapa kepada 10 orang anak itu berkata, kecederaan dialami sedikit sebanyak menjejaskan peranan sebagai ketua keluarga walaupun isterinya, Zariah Che Soh masih bekerja.

Katanya, setakat ini keperluan makanan sepanjang tempoh PKP masih mencukupi bagaimanapun jika ada pihak yang mahu menghulurkan sumbangan dialu-alukan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zairul Anuar berkata, pihak APM bersimpati dengan nasib yang menimpa anggotanya itu lebih-lebih lagi ketika dalam perjalanan untuk bertugas.

Beliau berkata, Iwan merupakan seorang anggota berdedikasi malah antara anggota APM yang tidak pernah berkira dalam bekerja.

"APM sentiasa menitik berat anggota dari segi kebajikan, malah kita ada Tabung Amanah Pertahanan Awam untuk menjaga kebajikan anggota.

"Pada hari ini saya sampaikan sumbangan berbentuk keperluan makanan daripada rakan-rakan seperjuangan Iwan. Insya-ALLAH kita akan tengok keperluan dari semasa ke semasa bantuan untuk diberikan," katanya.

Menurutnya, orang ramai atau mana-mana pihak turut dialu-alukan membantu Iwan meringankan beban yang ditanggung keluarga sementara kecederaan dialami pulih untuk meneruskan tugas sebagai ketua keluarga.