Abot dan Sanum pujuk gajah betina pindah

Perhilitan telah memindahkan seekor gajah betina liar yang berkeliaran berhampiran kawasan perkampungan dan menceroboh kebun getah penduduk di Kampung Bedah, Panglima Bayu, Tanah Merah pada Selasa.
Perhilitan telah memindahkan seekor gajah betina liar yang berkeliaran berhampiran kawasan perkampungan dan menceroboh kebun getah penduduk di Kampung Bedah, Panglima Bayu, Tanah Merah pada Selasa.
A
A
A

TANAH MERAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan seekor gajah betina liar dengan bantuan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah iaitu Abot dan Sanum pada Selasa.

Difahamkan gajah betina liar itu hampir seminggu berkeliaran berhampiran kawasan perkampungan dan menceroboh kebun getah penduduk di Kampung Bedah, Panglima Bayu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran gajah liar berkenaan pada 4 November sebelum pemeriksaan dan siasatan dijalankan di lokasi pada hari sama.

Menurut beliau, Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perhilitan Kelantan bersama Daerah Jeli berjaya menangkap haiwan itu menerusi kaedah pembiusan terkawal pada 5 November.

Operasi itu melibatkan dua ekor gajah denak dari PKGK Kuala Gandah iaitu Abot dan Sanum bagi membantu proses pengendalian haiwan berkenaan.
Operasi itu melibatkan dua ekor gajah denak dari PKGK Kuala Gandah iaitu Abot dan Sanum bagi membantu proses pengendalian haiwan berkenaan.

"Selepas ditangkap, gajah berkenaan dipantau bagi memastikan keadaan kesihatannya stabil sebelum proses pemindahan dilaksanakan.

"Operasi pemindahan membabitkan 27 anggota Perhilitan Kelantan dan PKGK Kuala Gandah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau memberitahu, proses pemindahan dari lokasi tangkapan ke kenderaan pengangkutan khas melibatkan jarak penarikan kira-kira 1.5 kilometer dan berjaya diselesaikan dengan selamat.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, gajah liar itu turut dipantau petugas veterinar Perhilitan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil sebelum dipindahkan ke habitat semula jadi yang lebih sesuai.

Tambah Wan Mohd Adib, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau mengganggu gajah liar, selain tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.

"Sebarang kehadiran hidupan liar yang berpotensi mencetuskan konflik perlu segera dilaporkan kepada Perhilitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!