Jerebu berlalu, ancaman banjir menanti

Keadaan banjir di Taman Sri Muda pada Disember 2021 lalu.
Keadaan banjir di Taman Sri Muda pada Disember 2021 lalu.
A
A
A

JEREBU yang beransur pulih pastinya melegakan rakyat selepas hampir tiga bulan berdepan masalah pencemaran udara.

Langit kembali membiru, aktiviti luar dapat dilakukan seperti biasa dan kehidupan harian yang sebelum ini terganggu mula kembali normal.

Namun, kelegaan itu mungkin tidak bertahan lama apabila negara bakal berdepan satu lagi ancaman alam iaitu banjir susulan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa awal monsun dari November 2026 hingga Januari 2027 dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan tanah rendah.

Amaran ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi selepas tragedi banjir besar yang melanda Selangor pada 17 Disember 2021 masih meninggalkan kesan mendalam kepada ribuan keluarga.

Ketika itu, taburan hujan luar biasa antara 100 hingga 400 milimeter dalam tempoh 17 hingga 19 Disember mengakibatkan banjir di 186 kawasan melibatkan sembilan daerah di Selangor. Taman Sri Muda, Shah Alam antara kawasan yang terjejas teruk.

Bagi penulis, peristiwa itu bukan sekadar angka dalam laporan statistik, sebaliknya pengalaman pahit yang masih menghantui sehingga hari ini.

Tarikh itu menjadi igauan ngeri apabila kediaman yang kami huni lebih 10 tahun turut dinaiki air sedangkan selama ini kawasan itu 'aman damai' tanpa sebarang bencana.

Masih segar dalam ingatan ketika sedang menyunting bahan berita di rumah, penulis menyedari kaki mula dibasahi air sebelum mendapati ruang dapur dan ruang tamu mula ditenggelami banjir.

Artikel Berkaitan:

Dengan bantuan dua anak yang ketika itu berusia 12 dan 11 tahun, penulis berusaha mengangkat perabot serta peralatan elektrik yang termampu, sementara suami pula terkandas dalam perjalanan pulang akibat jalan dinaiki air.

Pengalaman itu membuka mata bahawa bencana banjir bukan hanya menyebabkan kerosakan harta benda, malah meninggalkan kesan emosi yang tidak mudah dipulihkan.

Sehingga kini penulis mudah triggered apabila terdengar bunyi hujan lebat, rasa takut, resah dan gelisah melampau selain sukar tidur lena kerana bimbang kejadian sama berulang.

Bayangkan emosi dan kehidupan mangsa yang terpaksa berdepan kehilangan harta benda, sumber pendapatan dan tempat tinggal.

Cabaran sebenar mangsa bermula selepas air surut dan mereka dibenarkan pulang ke rumah. Lumpur, perabot rosak, dokumen penting musnah serta kehilangan sumber pendapatan memaksa sesetengah keluarga membina semula kehidupan dari awal.

Peniaga kecil, petani dan pengusaha yang bergantung pada perniagaan serta hasil pertanian turut berdepan kerugian apabila premis, kebun dan tanaman ditenggelami air.

Justeru, kesiapsiagaan menghadapi banjir tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan pusat pemindahan sementara dan bantuan selepas bencana. Sebaliknya, langkah pencegahan perlu diperkukuh melalui penyelenggaraan sistem perparitan, pemantauan kawasan berisiko, pengurusan sungai serta penyampaian amaran awal yang berkesan.

Kerjasama kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat juga penting bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Jerebu mungkin sudah berlalu, tetapi ancaman banjir mengingatkan kita bahawa keselamatan rakyat tidak boleh bergantung kepada tindakan selepas bencana berlaku.

Jangan sampai pengalaman pahit 2021 sekadar menjadi kenangan yang diulang setiap kali musim tengkujuh tiba. Persediaan awal, pencegahan berkesan dan keprihatinan terhadap mangsa perlu menjadi keutamaan agar tragedi sama tidak terus berulang.

*Azie Yahaya ialah penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!