[VIDEO] PRN Melaka penanda aras kerjasama PN, BN hadapi PRU16 - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi penanda aras kepada kerjasama lebih meluas antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkembangan positif jentera kedua-dua gabungan di Melaka ketika ini dilihat lebih baik dan harmoni berbanding pilihan raya di Negeri Sembilan sebelum ini.
Menurutnya, kerjasama erat tersebut diyakini mampu membuahkan keputusan terbaik, sekali gus membuka ruang kepada jalinan politik yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
"Kita dapat melihat kerjasama bersama jentera BN dan PN berada pada tahap lebih baik berbanding apa yang berlaku sebelum ini dalam pilihan raya di Negeri Sembilan.
"Saya percaya suasana yang sangat harmoni dan kerjasama yang dibina itu akan membuahkan keputusan terbaik dalam pilihan raya di Melaka, InsyaALLAH," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut menzahirkan rasa optimis terhadap peluang pembentukan kerajaan bersama di Melaka berdasarkan 'mood' serta kecenderungan sokongan rakyat ketika ini.

"Saya percaya apa yang berlaku di Melaka bukan sekadar menjadi penanda aras, tetapi satu perkara yang boleh mencetuskan kerjasama lebih meluas di seluruh negara, terutama dalam menghadapi PRU16 nanti. Saya sangat optimis dengan keadaan yang ada ketika ini," ujarnya.
Menyentuh mengenai kemungkinan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa boleh mempengaruhi sokongan pengundi, Ahmad Samsuri yakin perkembangan itu tidak akan menjejaskan prestasi gabungan berkenaan di Melaka.
"Pengalaman ketika di Negeri Sembilan tidak perlu diulangi kerana setiap parti mempunyai hak demokrasi untuk bertanding atas kapasiti, nama dan logo masing-masing, dan bukannya atas nama PN semata-mata," ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Samsuri menyerahkan bulat-bulat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet.
Katanya, pandangan Presiden UMNO itu wajar dipertimbangkan memandangkan Ahmad Zahid merupakan individu paling hampir dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini.
"Saya tidak mahu pergi jauh untuk memberikan komen kerana yang menyatakan perkara itu ialah Datuk Seri Zahid yang tentunya orang paling hampir dengan Kerajaan Persekutuan pada hari ini.
"Jika dirasakan pandangan itu relevan memandangkan beliau berada bersama kerajaan sedia ada di peringkat Persekutuan, saya fikir perkara itu boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

