Tujuh pemain warisan: Apa perancangan FAM?

FAM perlu tampil menjelaskan perancangan terhadap tujuh pemain ini sama ada masih meletakkan mereka dalam radar skuad kebangsaan atau sebaliknya.
FAM perlu tampil menjelaskan perancangan terhadap tujuh pemain ini sama ada masih meletakkan mereka dalam radar skuad kebangsaan atau sebaliknya.
A
A
A

HUKUMAN penggantungan selama setahun yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu pemalsuan dokumen sudah pun berakhir, sekali gus memberi ‘lampu hijau’ kepada tujuh pemain ‘warisan’ untuk kembali beraksi di pentas kompetitif bersama kelab masing-masing.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu kembali meniupkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air berhubung status sebenar kerakyatan yang telah diberikan kepada pemain terbabit.

Umum mengetahui, kad pengenalan diberikan kepada mereka sebelum ini bermatlamat untuk memperkasa skuad Harimau Malaya atas tiket status pemain warisan.

Justeru timbul persoalan, adakah mereka masih mampu menyumbang khidmat kepada skuad kebangsaan atau akhirnya sekadar menjadi satu percaturan yang sia-sia?

Secara teorinya, pintu untuk tujuh pemain berkenaan menyarung jersi skuad kebangsaan belum tertutup sepenuhnya memandangkan status kewarganegaraan mereka masih kekal.

Namun, laluan yang perlu ditempuh bukanlah mudah dan perlu memenuhi syarat ketat tempoh lima tahun bermastautin di Malaysia seperti yang termaktub di bawah Artikel 6(5) Statut FIFA.

Tempoh menunggu selama setengah dekad itu juga mencetuskan keraguan mengenai tahap keupayaan serta kerelevanan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa kelak.

Rodrigo Holgado misalnya bakal menjangkau usia 36 tahun manakala Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo masing-masing akan mencecah usia 35 tahun.

Pada peringkat usia ‘senja’ dalam kancah bola sepak profesional, pemain lazimnya berdepan kemerosotan daripada aspek ketangkasan fizikal, tahap kecergasan serta konsistensi prestasi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, harapan yang lebih realistik untuk menyumbang kepada negara dilihat hanya tertumpu kepada kelompok lebih muda iaitu Gabriel Palmero yang bakal berusia 29 tahun, Imanol Machuca (31 tahun) serta Facundo Garces (32 tahun).

Pun begitu, timbul pula persoalan sejauh mana kesediaan pemain seperti Machuca dan Garces untuk ‘mengikat diri’ beraksi di kancah Liga Malaysia selama lima tahun berturut-turut memandangkan mereka mungkin lebih cenderung mengutamakan tawaran karier di luar negara.

Atas dasar itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu tampil menjelaskan perancangan tuntas terhadap tujuh pemain berkenaan sama ada masih meletakkan mereka dalam radar skuad kebangsaan ataupun sebaliknya.

Selain aspek teknikal dan undang-undang, cabaran paling getir juga sebenarnya terarah kepada usaha memulihkan persepsi serta keyakinan penyokong tempatan.

Isu integriti dokumen yang pernah tercetus bukan sahaja mencalarkan reputasi pentadbiran bola sepak negara di mata dunia, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap kepercayaan peminat setia Harimau Malaya.

Adakah peminat bola sepak tanah air bersedia menerima semula kehadiran mereka di kem kebangsaan selepas episod hitam tersebut? Pintu untuk tujuh pemain terbabit menebus maruah bola sepak Malaysia mungkin tidak tertutup rapat asalkan segala ketetapan statut FIFA dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

Sebagai analogi, penyerang naturalisasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva masih membuktikan ketajaman luar biasa di atas padang bersama Harimau Malaya biarpun menghampiri usia 35 tahun.

Maka, tiada salahnya untuk tujuh pemain ‘warisan’ ini membuktikan komitmen serupa sekurang-kurangnya bagi membuktikan pemberian kerakyatan Malaysia kepada mereka bukanlah satu keputusan yang berakhir dengan sia-sia.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!