Kadar kelahiran merosot, masa depan terancam

MALAYSIA perlu memperkukuh dasar sokongan keluarga dan merangka strategi kependudukan lebih menyeluruh bagi menangani kemerosotan kadar kelahiran yang berisiko menjejaskan bekalan tenaga kerja serta keseimbangan struktur penduduk negara pada masa depan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini merekodkan penurunan kelahiran hidup sebanyak 4.5 peratus iaitu 396,175 orang pada tahun 2025 berbanding 414,918 pada tahun sebelumnya dengan kadar kesuburan wanita turut merosot kepada 1.5 anak.
Kadar kesuburan yang terus menurun bukan sekadar isu bilangan bayi dilahirkan sebaliknya memberi gambaran perubahan demografi yang boleh membawa kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi, sistem kebajikan dan keupayaan negara memenuhi keperluan tenaga kerja.
Sekiranya trend itu berterusan Malaysia berpotensi berdepan peningkatan jumlah penduduk berusia manakala kumpulan penduduk usia bekerja semakin mengecil berbanding keseluruhan populasi.
Ketika ini 12 negeri di Malaysia sudah dikategorikan sebagai negeri menua apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk negeri berkenaan.
Perak merekodkan komposisi penduduk warga emas tertinggi iaitu 10.8 peratus diikuti Sarawak dan Kedah dengan masing-masing 9.7 peratus.
Keadaan ini dilihat boleh meningkatkan tekanan terhadap sistem kesihatan dan perlindungan sosial apabila bilangan warga emas yang memerlukan sokongan bertambah sedangkan jumlah pekerja yang menyumbang kepada ekonomi dan pembiayaan perkhidmatan awam semakin berkurangan.
Dalam masa sama, kekurangan tenaga kerja tempatan boleh menyebabkan sektor tertentu semakin bergantung kepada pekerja asing bagi menampung keperluan operasi khususnya dalam bidang yang memerlukan tenaga kerja berintensif.
Kebergantungan berlebihan terhadap tenaga kerja asing bukan sahaja menimbulkan cabaran dari segi pengurusan migrasi dan kebajikan pekerja malah berisiko menjejaskan usaha meningkatkan produktiviti serta membangunkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.
Bagaimanapun, usaha meningkatkan kadar kelahiran tidak boleh dilihat semata-mata kempen menggalakkan pasangan mempunyai lebih ramai anak.
Sebaliknya, kerajaan perlu memahami faktor yang menyebabkan pasangan menangguhkan atau mengehadkan bilangan anak, termasuk kos sara hidup, harga rumah, perbelanjaan penjagaan anak, ketidakstabilan pekerjaan serta kesukaran mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga.
Bagi pasangan muda keputusan membina keluarga bukan hanya berkaitan keinginan memiliki anak tetapi turut bergantung kepada kemampuan menyediakan kehidupan yang selamat dan berkualiti untuk mereka.
Justeru, pendekatan meningkatkan kadar kelahiran perlu disokong dasar mesra keluarga yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Antara langkah boleh dipertimbang ialah memperluas akses pusat asuhan berkualiti dan mampu milik, meningkatkan kemudahan cuti bersalin serta cuti paterniti selain menggalakkan majikan menyediakan waktu kerja fleksibel dan perlindungan kerjaya kepada ibu bapa.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 untuk menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari amat dialu-alukan.
Insentif kewangan seperti bantuan kelahiran, pelepasan cukai dan subsidi penjagaan anak juga boleh diperkukuh namun pelaksanaannya perlu disasarkan kepada keperluan sebenar keluarga serta dinilai dari segi keberkesanan.
Pada masa sama, akses rawatan kesuburan dan kaunseling keluarga perlu diperluas supaya pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat tidak terbeban dengan kos rawatan.
Hakikatnya meningkatkan kadar kelahiran memerlukan masa dan tidak boleh dicapai melalui arahan atau tekanan terhadap pasangan. Sebaliknya negara perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan rakyat mempunyai bilangan anak yang diingini tanpa dibebani kebimbangan kos kehidupan.
Dasar Kasih Keluarga Negara yang dilancar pada 14 Februari lalu bukan hanya mengejar angka kelahiran tetapi memperkasa keluarga untuk kestabilan sosial.
*Saifullah Ahmad ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

