Bakar bendera, bukan cara menang pilihan raya

Bendera Bersama didakwa dibakar dengan sengaja dipercayai menggunakan pemetik api.
Bendera Bersama didakwa dibakar dengan sengaja dipercayai menggunakan pemetik api.
A
A
A

PERSAINGAN dalam pilihan raya sepatutnya menjadi medan untuk parti politik mengetengahkan idea, manifesto dan kemampuan calon bagi meraih kepercayaan pengundi, bukannya membuka ruang kepada tindakan provokasi sehingga mencetuskan permusuhan.

Namun, insiden vandalisme membabitkan bendera parti politik yang didakwa dibakar secara sengaja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Melaka, menimbulkan persoalan mengenai tahap kematangan masyarakat dalam berhadapan dengan perbezaan fahaman politik.

Tindakan calon sebuah parti membuat laporan polis selepas bendera parti di kawasannya menjadi sasaran perbuatan itu menunjukkan isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun motif dan pihak yang bertanggungjawab masih perlu dikenal pasti melalui siasatan, perbuatan merosakkan bahan kempen politik sekiranya terbukti dilakukan dengan sengaja bukanlah amalan yang wajar dalam sebuah negara demokrasi.

Hakikatnya, setiap parti mempunyai hak untuk memperkenalkan calon, menyampaikan mesej perjuangan dan mendapatkan sokongan rakyat melalui saluran yang dibenarkan undang-undang.

Begitu juga pengundi yang mempunyai kebebasan untuk menyokong mana-mana parti berdasarkan keyakinan, pertimbangan dan penilaian masing-masing.

Perbezaan pilihan politik itu sepatutnya diraikan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi, bukannya dijadikan alasan untuk melakukan tindakan yang boleh menjejaskan hak pihak lain.

Dalam konteks ini, tindakan membakar atau merosakkan bendera parti bukan sahaja melibatkan kerosakan harta benda, malah boleh menimbulkan suasana tidak selesa dan ketegangan dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika tempoh kempen pilihan raya.

Lebih membimbangkan apabila tindakan sedemikian berpotensi mewujudkan persepsi bahawa perbezaan politik perlu diselesaikan melalui provokasi dan intimidasi, bukannya persaingan secara sihat.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan, kekuatan demokrasi bukan diukur berdasarkan sejauh mana sesebuah parti mampu menekan atau menghalang pihak lawan, sebaliknya melalui kemampuan menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat.

Calon dan penyokong parti perlu memahami bahawa bendera yang dipasang bukan sekadar lambang sesebuah organisasi politik, tetapi sebahagian daripada usaha menyampaikan kewujudan dan penyertaan mereka dalam proses demokrasi.

Justeru, tindakan merosakkan bahan kempen pihak lain hanya akan mengalihkan perhatian daripada perkara lebih penting yang sepatutnya menjadi tumpuan, iaitu isu rakyat, pembangunan kawasan, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat unsur jenayah.

Sebarang tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan tuduhan atau persepsi semata-mata kerana setiap individu berhak mendapat proses siasatan yang adil.

Pada masa sama, semua parti politik perlu memainkan peranan mendidik penyokong supaya tidak mudah terpengaruh dengan provokasi atau mengambil tindakan sendiri apabila berdepan perbezaan pandangan.

Pemimpin juga perlu menunjukkan teladan dengan menggalakkan persaingan berasaskan hujah, dasar dan rekod perkhidmatan, selain mengelakkan kenyataan yang boleh mengapi-apikan sentimen permusuhan.

Pilihan raya akhirnya akan berakhir dan keputusan akan ditentukan oleh rakyat melalui peti undi namun, hubungan sesama masyarakat perlu terus dipelihara walaupun masing-masing mempunyai kecenderungan politik berbeza.

Justeru, sudah tiba masanya semua pihak membuktikan bahawa kematangan politik bukan sekadar slogan ketika berkempen, tetapi diterjemahkan melalui sikap menghormati hak dan kebebasan pihak lain.

Menang atau kalah dalam pilihan raya adalah lumrah demokrasi, tetapi merosakkan hak pihak lain bukanlah cara untuk membuktikan kekuatan politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!