Malaysia perlu bersiap siaga hadapi ancaman siber

ANCAMAN keselamatan negara pada masa kini tidak lagi terbatas kepada pencerobohan fizikal, konflik ketenteraan atau ancaman di sempadan, sebaliknya turut melibatkan serangan dalam ruangan digital yang berupaya melumpuhkan sistem penting serta mengancam keselamatan rakyat.
Amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia berpotensi menjadi sasaran serangan siber berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh kerajaan perlu diberikan perhatian serius, terutama ketika negara semakin bergantung kepada teknologi digital dalam pelbagai sektor strategik.
Hakikatnya, perkembangan pesat ekonomi digital, pertumbuhan pusat data, penggunaan teknologi dalam sektor perbankan, pengangkutan, kesihatan dan perkhidmatan awam turut membuka ruang kepada ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
Lebih membimbangkan, serangan siber bukan sekadar menyebabkan gangguan teknikal, malah berpotensi menjejaskan kelancaran operasi negara dan kehidupan seharian rakyat.
Insiden serangan siber yang pernah menyasarkan sistem komputer Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Mac 2025 menjadi antara contoh bagaimana kelemahan sistem digital boleh memberikan kesan besar kepada sektor perkhidmatan kritikal.
Gangguan yang dilaporkan berlaku lebih 10 jam itu didakwa menjejaskan sistem pengendalian bagasi sehingga kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan terpaksa beralih kepada operasi manual, selain menyebabkan ribuan penumpang terkandas.
Insiden itu membuktikan bahawa kelemahan sistem digital boleh memberikan kesan besar kepada operasi kemudahan awam, sekali gus memperlihatkan kepentingan perlindungan keselamatan siber dalam memastikan perkhidmatan penting negara tidak terganggu.
Peristiwa itu sepatutnya menjadi peringatan bahawa setiap infrastruktur kritikal negara perlu mempunyai sistem keselamatan dan pelan pemulihan yang benar-benar berkesan, bukannya hanya bergantung kepada teknologi sedia ada.
Selain itu, ancaman terhadap keselamatan data peribadi juga tidak boleh diketepikan apabila hampir 7.7 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze didakwa ditawarkan untuk dijual di platform dark web, termasuk maklumat sejarah perjalanan dan koordinat lokasi GPS.
Walaupun dakwaan kebocoran berkenaan belum disahkan secara rasmi oleh Google, pendedahan itu menggambarkan risiko yang boleh timbul apabila maklumat peribadi pengguna terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam keadaan ini, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh dengan memperkukuh keupayaan agensi keselamatan siber, meningkatkan pemantauan ancaman serta memastikan setiap kementerian, jabatan dan pengendali infrastruktur kritikal mempunyai sistem pertahanan digital yang kukuh.
Langkah itu termasuk melaksanakan audit keselamatan siber secara berkala, ujian penembusan sistem, penyulitan data, penggunaan sistem sandaran berasingan serta pelan tindak balas kecemasan bagi memastikan operasi penting dapat diteruskan sekiranya berlaku serangan.
Pada masa sama, penyelarasan antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pengendali infrastruktur digital perlu dipertingkatkan kerana ancaman siber tidak mengenal sempadan organisasi atau bidang kuasa.
Syarikat yang menguruskan data pengguna dan menyediakan perkhidmatan digital juga perlu bertanggungjawab memastikan maklumat pelanggan dilindungi, selain segera memaklumkan kepada pihak berkuasa dan pengguna sekiranya berlaku insiden kebocoran data.
Tidak kurang penting, rakyat juga perlu mempunyai kesedaran mengenai keselamatan digital termasuk menggunakan kata laluan yang kukuh, mengaktifkan pengesahan berbilang faktor, mengemas kini perisian serta tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi atau menekan pautan mencurigakan.
Ini kerana benteng keselamatan siber negara bukan hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi dan kepakaran agensi kerajaan, tetapi turut memerlukan kerjasama serta disiplin setiap pengguna.
Peringatan Perdana Menteri supaya rakyat kekal tenang tetapi berwaspada perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam menghadapi ancaman berkenaan. Namun, ketenangan masyarakat juga perlu disertai tindakan pencegahan dan kesiapsiagaan yang jelas daripada pihak berkuasa.
Justeru, amaran mengenai potensi Malaysia menjadi sasaran serangan siber tidak seharusnya mencetuskan ketakutan, sebaliknya menjadi dorongan untuk negara mempercepat usaha memperkukuh pertahanan digital.
Persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia berpotensi berdepan ancaman siber, tetapi sejauh mana negara benar-benar bersedia untuk menghadapinya tanpa membiarkan keselamatan data, kelangsungan perkhidmatan kritikal dan kepentingan rakyat menjadi taruhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
