Tujuh pemain tak boleh sarung jersi Harimau Malaya - FAM

TUJUH pemain warisan yang bakal menamatkan penggantungan 12 bulan hujung bulan ini tetap tidak boleh kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perkara itu susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak membenarkan pemain terbabit mewakili Malaysia.
“Tidak boleh, pemain itu tak boleh mewakili negara. Pasal FIFA tak benarkan, FIFA tak benarkan,” katanya.
Tujuh pemain berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang dikenakan penggantungan selepas terpalit isu pemalsuan dokumen berkaitan status warisan mereka.
Perkembangan itu bermakna tamatnya tempoh penggantungan pada penghujung bulan ini tidak memberikan laluan automatik kepada mereka untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Ghani berkata, FAM akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mendapatkan penjelasan mengenai status pasport tujuh pemain berkenaan.
Beliau menjelaskan perkara berkaitan kewarganegaraan dan pengeluaran pasport berada di luar bidang kuasa FAM, justeru badan induk itu perlu mendapatkan penjelasan serta bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebelum ini, Ab Ghani turut mewakili kepimpinan baharu FAM memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia berhubung kemelut pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.
Beliau turut memberi komitmen bahawa perkara seumpama itu tidak akan dibiarkan berulang sepanjang tempoh kepimpinannya, selain menegaskan keperluan FAM memperkemaskan proses dokumentasi pemain dan pematuhan prosedur.
Isu berkenaan sebelum ini menyaksikan FAM dan tujuh pemain terbabit dikenakan tindakan FIFA, sekali gus mencetuskan persoalan berhubung kelayakan mereka untuk mewakili Malaysia serta status dokumen dan kewarganegaraan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
