PRN Melaka: Mukhlis Mubin tak anggap diri jadi mangsa buli siber

MELAKA – Calon muda Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin tidak menganggap komen negatif dan kecaman di media sosial sebagai satu bentuk pembulian terhadap dirinya sebagai calon Gen-Z.
Mukhlis atau nama penuhnya, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 25, berkata, beliau sedar berdepan risiko seperi kritikan dan tekanan daripada pelbagai pihak susulan keputusan menceburi bidang politik.
Menurutnya, setiap ahli politik termasuk golongan muda perlu bersedia menerima kecaman kerana perkara itu bukan sesuatu yang asing dalam dunia politik.
“Kita tak boleh kata benda itu pembulian sebab kita sendiri yang mengambil risiko untuk masuk dalam medan politik ini.
“Jadi, perkara itu kita kena bersedia. Tekanan memang kita jangka. Siapa sahaja ahli politik di Malaysia ini yang tidak pernah kena kecam atau dikritik?
“Takkanlah sebab saya muda, terus saya nak cakap itu adalah satu pembulian,” katanya kepada Sinar Harian.
Mukhlis berkata, menerima segala kritikan, nasihat mahupun tohmahan dengan mengambil perkara positif sebagai panduan, manakala komen negatif tidak perlu diberikan perhatian berlebihan.
“Sebagai calon Gen-Z tekanan yang diberikan itu mungkin lebih kuat berbanding calon lain tetapi apa yang paling penting, kita fokus pada kerja kita nak bantu rakyat, turun padang dan mendapatkan hati pengundi.
“Orang nak kritik apa terpulang, tapi bagi saya yang paling penting adalah warga DUN Kuala Linggi itu sendiri, itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhlis berkata, tekanan politik dan perhatian media di peringkat nasional juga tidak menjejaskan semangatnya untuk meneruskan kempen.
“Apabila kita turun bertemu rakyat, jiran tetangga dan saudara-mara, alhamdulillah penerimaan sangat baik.
“Orang Kuala Linggi sangat meraikan. Mereka mahu suara anak muda bekerja dan membawa perubahan.
“Mereka yang kritik itu, mungkin kebanyakan orang luar, itu hak mereka. Asalkan orang Kuala Linggi meraikan kita, itu sudah cukup,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

