Sidang DUN Negeri Sembilan: 'Kalau ALLAH izinkan Insya-ALLAH'- Ismail Lasim

Ismail Lasim ditemui pemberita selepas Majlis 'Kick-Off' Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan.
Ismail Lasim ditemui pemberita selepas Majlis 'Kick-Off' Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yakin sekiranya ALLAH menghendaki yang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan belanjawan negeri 2027 yang dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini dapat dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, ia termasuklah sama ada sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau sebaliknya.

"Kalau ALLAH izinkan... Insya-ALLAH," katanya ringkas ditemui pemberita selepas Majlis 'Kick-Off' Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita samada tarikh sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 26 November dan diikuti pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pada 27 November tetap dilaksanakan seperti dijadualkan.

Ditanya lanjut adakah akan timbul masalah sekiranya tarikh terbabit tidak mendapat perkenan baginda, Ismail tetap enggan mengulas lanjut.

"Saya kata tadi, Insya-ALLAH," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Ismail berkata, masih sedang berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhubung tarikh persidangan DUN terbabit.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka ketika baginda berangkat menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah.

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Baginda kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadapnya.

“Kenapa dia mahu jumpa saya? Selagi dia tidak menarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, pergi,” titah baginda.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!