Anak Waris Jelebu kemuka tiga resolusi perkukuh institusi adat

Anak Waris Jelebu mencapai kata sepakat menerusi tiga resolusi yang dipersetujui dalam Majlis Kerapatan 'Tautan Kasih' yang diadakan pada 1 November lalu.
Anak Waris Jelebu mencapai kata sepakat menerusi tiga resolusi yang dipersetujui dalam Majlis Kerapatan 'Tautan Kasih' yang diadakan pada 1 November lalu.
A
A
A

JELEBU - Bagi memperkukuh institusi adat di negeri ini, Anak Waris Jelebu mencapai kata sepakat menerusi tiga resolusi yang dipersetujui dalam Majlis Kerapatan 'Tautan Kasih' yang diadakan pada 1 November lalu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, resolusi berkenaan merangkumi usaha mempertahankan kedaulatan amanah pusaka, melaksanakan pemulihan pusaka serta menubuhkan Sekretariat Anak Waris Pusaka Jelebu di peringkat setiap Perut.

Ia dizahirkan sebagai tanda permuafakatan, penyatuan dan kasih sayang dalam kalangan Anak Waris Jelebu, selain menjunjung tinggi titah Majlis Raja-Raja Melayu supaya kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan ditangani dengan kebijaksanaan, kesabaran serta penuh penghormatan terhadap adat dan institusi diraja.

Menerusi resolusi itu, Anak Waris Jelebu menegaskan bahawa pusaka bukan sekadar gelaran atau kedudukan, sebaliknya amanah yang perlu dijunjung, dipelihara dan dipertanggungjawabkan oleh setiap Anak Waris berlandaskan prinsip 'Adat Bersendi Syarak, Syarak Bersendi Kitabullah'.

Dalam kenyataan itu turut ditekankan yang usaha mempertahankan amanah pusaka dan keluhuran adat perlu dilaksanakan tanpa berpihak kepada mana-mana individu, sebaliknya mengutamakan kepentingan adat serta seluruh Anak Waris.

"Bagi tujuan pemulihan pusaka, Majlis Kerapatan Anak Waris akan diperkukuh semula sebagai medan permuafakatan dan penyelesaian segala permasalahan berkaitan pusaka, berlandaskan prinsip 'Balik Ke Asal'

"Punca Kuasa di Luak Jelebu adalah hasil muafakat dan kebulatan Anak Waris atau anak buah bermula daripada pembentukan Buapak, Lembaga seterusnya Penghulu atau Undang,"kata kenyataan itu.

Resolusi Majlis Kerapatan Tautan Kasih Anak Waris Jelebu
Resolusi Majlis Kerapatan Tautan Kasih Anak Waris Jelebu

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Anak Waris Jelebu turut memaklumkan Sekretariat Anak Waris Pusaka Jelebu akan ditubuhkan di peringkat setiap Perut sebagai badan penyelaras bagi menggerakkan usaha pemulihan, pemeliharaan dan pengukuhan institusi pusaka serta adat.

Jelas mereka,setiap Perut juga perlu membentuk jawatankuasa sekretariat yang terdiri daripada lima anak waris bagi membantu menyelaras aktiviti dan menggerakkan penglibatan anak waris dalam usaha berkenaan.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, penubuhan sekretariat itu bukan bertujuan mengambil alih atau mencampuri kuasa dan peranan Ibu Soko serta Buapak, sebaliknya berfungsi sebagai badan sokongan dengan kedua-duanya menjadi penaung di peringkat Perut masing-masing.

Selain itu, Anak Waris Jelebu menuntut supaya segala perbezaan pendirian perlu diselesaikan berlandaskan semangat syura dan musyawarah melalui Majlis Kerapatan secara beradab, beradat dan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian bermaruah tanpa merendahkan atau menghina mana-mana pihak.

"Semangat kekeluargaan, penyatuan dan kasih sayang hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian.

"Semua pihak hendaklah mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak, menjejaskan maruah institusi adat serta mengeruhkan keadaan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!