Dua kematian termasuk korban ketiga anggota perubatan KKM

Noor Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Noor Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lagi anggota perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi korban terbaharu Covid-19 di negara ini menjadikan kes kematian ketiga melibatkan petugas KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian pesakit itu merupakan salah satu daripada dua kematian yang telah dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan hari ini.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 95 kes.

"Kes kematian anggota perubatan KKM itu merupakan kematian ke-94 (kes ke-3,871). Pesakit merupakan perempuan warga Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

"Pesakit merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-3,662 yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor. Ini merupakan kematian ketiga dalam kalangan anggota kesihatan KKM.

"Kes kematian ke-95 (kes ke-4,129) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1,575 yang berkaitan dengan kluster individu dalam siasatan (PUI) Bali," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat seramai 325 anggota KKM yang dikesan positif Covid-19 iaitu 5.8 peratus daripada jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota KKM, sebanyak 185 kes telah pulih sepenuhnya dan discaj, 137 kes sedang dirawat di hospital dan tiga kes kematian.

"Kes-kes ini terdiri daripada 77 orang pegawai perubatan; 66 jururawat; 34 pegawai perubatan siswazah; 23 pakar perubatan; 21 penolong pegawai perubatan dan 104 lain-lain skim perkhidmatan.

"Berdasarkan siasatan, 70 peratus kes adalah berpunca daripada aktiviti persendirian misalnya menghadiri majlis keraian, ke luar negara dan sebagainya bukan disebabkan oleh pengendalian kes yang telah disahkan positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa semua anggota kesihatan dan petugas hadapan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan.