Generasi baharu semakin kurang, warga emas dominasi dunia

ANGKA kelahiran yang semakin merosot mencerminkan masalah sosial lebih mendalam apabila ramai individu yang ingin mempunyai anak berdepan kekangan ekonomi, perumahan, ketidaksamarataan jantina dan tekanan perubahan iklim.
Kadar kelahiran di seluruh dunia menunjukkan penurunan sejak kemuncak ledakan kelahiran bayi selepas Perang Dunia Kedua.
Di kebanyakan negara, kadar itu kini berada di bawah paras tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk mengekalkan saiz populasi.
Secara ringkas, purata bilangan anak yang dilahirkan tidak lagi mencukupi untuk menggantikan generasi terdahulu dalam jangka panjang.
Penurunan kadar kesuburan keseluruhan iaitu purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita turut mendapat perhatian pelbagai tokoh termasuk bilionair kontroversi Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan pemimpin Vatican, Paus Leo XIV.
Sejak 1960-an, perdebatan awam sering tertumpu kepada bahaya lebihan penduduk.
Namun, perhatian kini semakin beralih kepada penyusutan populasi dan cabaran ekonomi serta keselamatan negara yang mungkin timbul akibat tekanan demografi.
Buku berjudul The Population Bomb diterbitkan oleh Paul Ehrlich pada 1968 memberi amaran bahawa dunia akan dibanjiri manusia pada 1970-an, sekali gus mencetuskan populasi tidak terkawal yang membawa kepada kebuluran dan peperangan.
Ia turut membayangkan kepupusan manusia sebagai ancaman yang semakin hampir. Namun, kebimbangan mengenai ledakan populasi yang pernah diramalkan sebelum ini tidak menjadi kenyataan.

Sejak 1950, kadar kesuburan keseluruhan dunia telah merosot lebih daripada separuh.
Di negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), purata kadar kesuburan kini hanya 1.46 anak bagi setiap wanita, jauh lebih rendah daripada kadar 2.1 anak yang diperlukan untuk mengekalkan jumlah penduduk dalam jangka panjang.
Populasi dunia dijangka mula menyusut menjelang pertengahan 2080-an. China kini memasuki tahun keempat mengalami penurunan jumlah penduduk manakala populasi Korea Selatan menyusut sejak 2019 dan tersenarai sebagai kadar kelahiran yang terendah di dunia.
Di Jerman, jumlah kematian telah mengatasi jumlah kelahiran sejak 1972. Jepun, Greece, Itali, Cuba dan Thailand turut berdepan penyusutan populasi.
Tanpa kemasukan pendatang, United Kingdom (UK) juga akan mengalami penurunan penduduk apabila jumlah kematian melebihi kelahiran.
Australia pula dijangka berdepan keadaan serupa dalam tempoh kira-kira satu generasi lagi. Di Kanada, kawalan terhadap kemasukan pendatang telah menyumbang kepada penyusutan populasi.
'Tragedi kemanusiaan'
Kemajuan pesat dalam bidang kesihatan dan teknologi perubatan sejak 1950-an, khususnya melalui pembangunan vaksin dan program imunisasi telah meningkatkan jangka hayat manusia.
Pada masa sama, kadar kelahiran yang semakin menurun menyumbang kepada peningkatan populasi warga emas.
Pertambahan penduduk berusia mencerminkan kejayaan manusia dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup. Namun, sistem ekonomi sedia ada cenderung menganggap penuaan penduduk sebagai satu beban.
Bilangan warga emas meningkat sedangkan jumlah tenaga kerja semakin mengecil hingga memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan dan kebajikan sosial.
Pada masa sama, semakin ramai berpendapat bahawa keputusan untuk mempunyai anak kini dipengaruhi pelbagai faktor di luar kawalan individu.
Tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kira-kira satu daripada lima responden di seluruh dunia menyatakan kebimbangan terhadap masa depan hingga mendorong mereka untuk mengehadkan bilangan anak atau merancang keluarga.
Harga rumah yang semakin tidak mampu dimiliki dan ketidaktentuan ekonomi menjadi antara kekangan utama bagi mereka yang mahu membina keluarga besar.
Kadar kesuburan yang rendah bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan penduduk malah menjadi satu 'tragedi kemanusiaan' apabila individu tidak dapat memiliki anak seperti yang diinginkan.
Kita kini berdepan cabaran demografi yang semakin ketara apabila bilangan generasi muda terus menyusut sedangkan populasi warga emas semakin meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

