GPS tahu jalan, kita tahu apa?

JIKA selama ini aplikasi navigasi GPS menjadi teman setia ketika memandu, mampukah kita meneruskan perjalanan sekiranya kemudahan itu tidak lagi boleh digunakan?
Persoalan itu semakin relevan susulan keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi berkenaan ketika menjalankan tugas rasmi atas faktor keselamatan dan perlindungan data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan kerajaan menggalakkan orang ramai beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif panduan perjalanan.
Namun, isu ini bukan sekadar soal pemilihan aplikasi navigasi, sebaliknya turut mencetuskan persoalan sejauh mana masyarakat kini bergantung kepada teknologi sehingga perkara asas seperti mencari jalan pun memerlukan bantuan digital.
Bagi sesetengah pemandu, menyemak aplikasi navigasi seperti Waze, TuJu dan Google Maps sebelum memulakan perjalanan sudah menjadi rutin, meskipun destinasi yang dituju bukanlah lokasi asing bagi mereka.
Ada juga menggunakan aplikasi berkenaan bagi tujuan lain seperti memantau kesesakan lalu lintas, kebarangkalian kemalangan atau sekatan jalan raya.
Berbeza dengan era sebelum kemudahan internet berkembang di negara ini sekitar 1980-an, pemandu ketika itu lebih bergantung kepada papan tanda, peta jalan, mercu tanda serta ingatan untuk mengenal pasti laluan.
Jika tersesat atau keliru mencari destinasi, mereka juga tidak segan bertanya kepada penduduk setempat bagi mendapatkan panduan.
Buat masa ini, satu aspek yang sering terlepas pandang ialah keselamatan data peribadi, sedangkan maklumat lokasi dan corak perjalanan berpotensi mendedahkan rutin harian seseorang.
Disebabkan itu, pengguna perlu memahami jenis data yang dikumpulkan, kebenaran akses diberikan serta dasar privasi setiap aplikasi.
Namun, kebimbangan terhadap keselamatan data tidak seharusnya disamakan dengan dakwaan maklumat berkenaan disalahgunakan pihak tertentu tanpa bukti.
Dalam perkembangan berkaitan, TuJu dibangunkan dengan penglibatan LLM dicadangkan alternatif tempatan.
Keupayaannya dari segi ketepatan laluan, maklumat trafik dan kemudahan penggunaan perlu dinilai berdasarkan pengalaman sebenar pengguna.
Isu sekatan terhadap Waze bukan menolak teknologi atau menerima semua arahan aplikasi tanpa berfikir panjang.
Sebaliknya, masyarakat perlu bijak memanfaatkan kemudahan digital sambil mengekalkan keupayaan membuat keputusan sendiri.
Teknologi sepatutnya membantu kita mencari jalan, bukannya menyebabkan kita hilang arah apabila kemudahan itu tiada.
Kebergantungan terhadap aplikasi navigasi juga boleh mengundang risiko sekiranya pemandu mengikut arahan tanpa meneliti keadaan sebenar jalan raya.
Kesilapan memasuki lorong bertentangan atau memandu melawan arus bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Perbuatan itu boleh membawa kepada tindakan undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika melibatkan kegagalan mematuhi arahan atau isyarat lalu lintas.
Sementara itu, Seksyen 42(1) akta sama boleh terpakai bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan, bergantung pada fakta serta keadaan kejadian.
Pada 20 Januari lalu, seorang wanita warga Amerika Syarikat dilaporkan dikenakan saman selepas memandu melawan arus di Jalan Chenang, Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, wanita itu mendakwa tersalah memasuki lorong selepas mengikuti arahan Waze.
Kes itu menjadi peringatan bahawa aplikasi navigasi bukan alasan untuk mengabaikan keadaan jalan atau peraturan lalu lintas.
*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

