Generasi menyusut negara layu

Sempena sambutan Hari Malaysia ini, sudah tiba masanya wacana pembinaan negara diperluaskan. Gambar kecil: Ros Aiza
Sempena sambutan Hari Malaysia ini, sudah tiba masanya wacana pembinaan negara diperluaskan. Gambar kecil: Ros Aiza
A
A
A

TANGGAL 16 September merupakan detik keramat yang sentiasa menyemarakkan rasa bangga dalam jiwa setiap warga tanah air.

Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar lipatan sejarah penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai satu negara yang berdaulat, malah ia adalah waktu terbaik untuk kita bermuhasabah tentang hala tuju serta masa depan negara.

Di tengah-tengah kemeriahan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyuarakan iltizam perpaduan, terdapat satu ancaman senyap yang berpotensi menjejaskan masa depan kita iaitu krisis penurunan kadar kelahiran.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kadar Kesuburan Keseluruhan (TFR) Malaysia adalah pada paras 1.6 anak bagi setiap wanita.

Angka ini berada di bawah paras penggantian populasi yang diperlukan iaitu 2.1 anak bagi mengekalkan saiz penduduk yang seimbang.

Penurunan dramatik ini menandakan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah krisis demografi yang nyata. Hal ini menimbulkan persoalan: "Adakah sebuah negara yang semakin menyusut generasi barunya mampu bertahan dan kekal lestari dalam jangka masa panjang?“

Wacana mengenai "kelestarian" sering kali terhad kepada isu alam sekitar, pembangunan hijau atau tenaga boleh diperbaharui.

Namun, dalam konteks pembinaan negara bangsa, kelestarian masyarakat merujuk kepada kebolehan sesebuah komuniti untuk berkembang secara seimbang, dan mengekalkan kesejahteraan merentas generasi.

Kelestarian tidak mungkin wujud jika tiada generasi pelapis untuk memegang obor kepimpinan dan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Trend anak muda hari ini yang memilih untuk melewatkan perkahwinan atau menetapkan sasaran "cukup seorang anak sahaja" bukanlah sekadar pilihan gaya hidup.

Ia adalah manifestasi daripada tekanan sosioekonomi seperti kos sara hidup yang melonjak naik, harga perumahan di luar kemampuan dan ketidaktentuan kerjaya.

Kebimbangan ini mencetuskan pelbagai kesan buruk iaitu nisbah warga emas meningkat drastik berbanding populasi muda yang produktif. Dalam hal ini, Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada 2036.

Dalam masa yang sama, pasaran domestik akan menguncup, tenaga kerja masa depan terhad, dan hasil cukai negara akan merosot.

Selain itu, sistem kebajikan juga akan lumpuh. Dalam hal ini, generasi muda yang produktif yang semakin berkurangan terpaksa memikul beban dana persaraan dan kos penjagaan kesihatan warga tua yang kian membesar.

Oleh itu, bagi memastikan Malaysia kekal bertahan mendepani cabaran krisis demografi, pembinaan kelestarian negara perlu disandarkan kepada empat perkara utama.

Pertama, negara memerlukan keseimbangan populasi dan kitaran generasi menerusi kadar kelahiran yang stabil. Langkah ini penting bagi memastikan roda sosial serta ekonomi terus berjalan lancar tanpa berdepan dengan kejutan jurang umur.

Kedua, ekosistem sosioekonomi yang mesra keluarga perlu diwujudkan. Hal ini kerana, anak muda memerlukan keterjaminan kewangan untuk membina keluarga termasuklah gaji yang setimpal dengan kos sara hidup, kemudahan pusat penjagaan anak bersubsidi di tempat kerja serta perumahan mampu milik.

Ketiga, pembangunan pesat negara mesti diimbangi dengan ketahanan alam sekitar dan pengurusan sumber bumi secara berhemah. Hal ini bagi menjamin anak cucu kita dapat terus menikmati bekalan air bersih, udara segar, serta persekitaran hidup yang selamat.

Akhir sekali, perpaduan inklusif dan keharmonian nasional antara warga Semenanjung, Sabah, dan Sarawak kekal menjadi tiang seri negara.

Keharmonian yang dibina atas dasar keadilan sosial dan keperihatinan bersama inilah yang akan memastikan ikatan masyarakat kekal padu merentas generasi.

Sempena sambutan Hari Malaysia ini, sudah tiba masanya wacana pembinaan negara diperluaskan. Membina Malaysia bukan sekadar mendirikan bangunan pencakar langit atau mengejar angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, kekuatan dan hayat sesebuah negara terletak pada modal insan dan populasinya.

Penurunan kadar kesuburan bukanlah berpunca daripada anak muda yang 'tidak sayangkan negara', tetapi kekangan realiti hidup masa kini.

Justeru, usaha menangani krisis ini memerlukan respons dasar holistik daripada pihak kerajaan dan swasta melalui sokongan tempat kerja dan insentif kekeluargaan yang berkesan.

Pembentukan Malaysia 1963 adalah warisan nenek moyang kita. Namun, kelestarian tanah air ini untuk dekad-dekad yang mendatang bergantung kepada sejauh mana kita mampu menyediakan persekitaran yang meyakinkan bagi generasi seterusnya untuk terus lahir, membesar, dan memakmurkan bumi bertuah ini.

Selamat Hari Malaysia!

*Profesor Madya Dr Ros Aiza Mohd Mokhtar ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!