'Pesawah MADA tidak gagal, ada mampu hasilkan hingga 10 tan padi' – Mohamad Sabu

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mempunyai kemampuan meningkatkan hasil pengeluaran padi setanding pencapaian pesawah di Sekinchan, Selangor.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tanggapan bahawa semua kawasan di bawah MADA gagal mencapai hasil pengeluaran yang baik adalah tidak tepat.
Menurutnya, terdapat pesawah di kawasan berkenaan yang mampu menghasilkan antara lapan hingga 10 tan padi, sekali gus membuktikan potensi sektor penanaman padi di kawasan itu untuk terus dipertingkatkan.
“Bukan semuanya yang gagal. Saya ada senarai, misalnya mereka menanam padi dan mendapat hasil yang boleh dikatakan sama dengan Sekinchan, antara lapan hingga 10 tan sehektar.
“Di Sekinchan dan beberapa kawasan di Perak, hasilnya juga sekitar lapan hingga 10 tan sehektar. Di MADA pun sekarang telah berlaku peningkatan itu dan antaranya melibatkan pesawah Melayu kita,” katanya.
Mohamad berkata demikian menerusi program Interviu bertajuk 'Bang Mat Dedah Masalah Padi' yang dihoskan moderator, Haizir Othman di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan pesawah tempatan, khususnya golongan petani Melayu, juga mampu mencapai hasil pengeluaran tinggi sekiranya mempunyai komitmen dan mengamalkan pengurusan tanaman yang baik.
Mohamad turut menyenaraikan beberapa pesawah termasuklah petani wanita di kawasan MADA yang berjaya memperoleh hasil lapan tan sehektar dan ke atas di kawasan itu.
Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan itu ialah sikap pesawah yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penanaman padi serta mematuhi jadual kerja yang ditetapkan.
Beliau berkata, terdapat pesawah yang mengusahakan tanaman padi secara sepenuh masa berjaya memperoleh hasil antara lapan hingga 10 tan sehektar.
Mohamad berkata, sekiranya purata hasil pengeluaran padi negara dapat ditingkatkan kepada tujuh tan sehektar, Malaysia berpotensi menjadi negara pengeksport beras.
“Kalau kita purata tujuh tan sahaja, Malaysia mampu eksport beras. Jadi peningkatan ini yang sedang kita usahakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bukan semua pesawah hanya mengeluh atau merungut mengenai masalah yang dihadapi, sebaliknya majoriti mereka bekerja dengan baik serta mematuhi jadual penanaman.
Katanya, golongan pesawah yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam meningkatkan hasil pengeluaran perlu terus diberikan perhatian serta bantuan sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


