'Kami takut berlaku kemalangan, jika jalan terus begini’ – Penduduk

KUANTAN – Hakisan tebing di jalan utama menghala ke Pelabuhan Kuantan berhampiran Kampung Selamat Pelabuhan di sini semakin membimbangkan apabila sebahagian jalan runtuh pada Isnin lalu, sekali gus mengancam keselamatan pengguna.
Tinjauan di lokasi mendapati retakan besar kelihatan pada permukaan jalan, manakala hakisan tebing menyebabkan sebahagian laluan terhakis sehingga mendedahkan paip utiliti bawah tanah di cerun berhampiran.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kerana jalan berkenaan digunakan setiap hari oleh kenderaan berat yang keluar masuk ke Pelabuhan Kuantan.

Penduduk, Abdul Rahim Abdullah, 54, berkata, hakisan di kawasan itu telah lama menghampiri bahu jalan sebelum sebahagian laluan utama runtuh pada Isnin lalu.
Menurutnya, keadaan tersebut membimbangkan dari segi keselamatan, terutama kepada pengguna yang tidak biasa melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.
“Jalan ini sekarang tidak lagi mempunyai bahu jalan dan kedudukannya pula terlalu hampir dengan laut.
“Kami memang takut berlaku kemalangan jika laluan terus berada dalam keadaan begini, terutama kepada pemandu yang tidak biasa melalui jalan ini. Pada waktu malam, orang mungkin tidak menyedari keadaan jalan yang terhakis dan boleh terbabas,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Abdul Rahim berkata, kerja pembaikan sepatutnya dilakukan lebih awal memandangkan masalah hakisan di kawasan itu telah berlarutan lebih setahun.
“Apabila sudah runtuh begini, tindakan perlu diambil segera. Namun sehingga kini seperti masih belum ada tindakan,” katanya.
Rungutan sama turut disuarakan wakil penduduk, Azman Ali, 57, yang mendakwa hakisan berkenaan menyebabkan lebih satu meter bahagian jalan terhakis sehingga mendedahkan paip air dan kabel utiliti di bawahnya.
Menurutnya, aduan mengenai masalah itu telah dibuat kepada pihak berkaitan, namun kerja pembaikan masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Azman berkata, keadaan itu turut membahayakan pengguna jalan raya berikutan permukaan jalan yang tidak rata dan licin berhampiran lampu isyarat serta banyak lampu jalan yang tidak berfungsi.
“Daripada kira-kira 50 tiang lampu di kawasan ini, hanya sekitar 10 sahaja yang berfungsi. Jalan ini gelap sedangkan lori keluar masuk sepanjang masa.
“Kalau ada penunggang motosikal melalui kawasan ini pada waktu malam, risikonya memang tinggi. Jadi kita harap pihak berkaitan segera melakukan sesuatu demi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selamat Pelabuhan, Abdul Aziz Manap, 50, berkata aduan berhubung hakisan tersebut telah dibangkitkan sejak lebih setahun lalu, namun tiada tindakan menyeluruh diambil sebelum runtuhan berlaku.
Menurutnya, laluan berkenaan amat penting kepada pengguna jalan raya termasuk kenderaan berat yang keluar masuk ke Pelabuhan Kuantan.
Beliau berkata, kelewatan menangani masalah itu mengecewakan kerana penduduk terus terdedah kepada risiko keselamatan walaupun aduan telah dikemukakan lebih awal.
“Aduan saya sebelum ini seolah-olah dipandang remeh. Akhirnya penduduk kampung yang menerima kesannya, tetapi pengerusi JPKK juga dipersoalkan mengapa tindakan awal tidak diambil sedangkan masalah ini telah lama berlaku.
“Sepatutnya jabatan berkaitan lebih cakna apabila berlaku hakisan. Bukan tunggu sehingga jalan runtuh, barulah semua pihak mahu melihat keadaan sebenar,” katanya.
Abdul Aziz berkata, beliau bersama beberapa penduduk turut memasang kon keselamatan ketika hujan lebat sehingga awal pagi selepas mengetahui keadaan jalan yang rosak bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Selepas Maghrib saya sudah meletakkan kon keselamatan, kemudian keluar semula sekitar jam 10 malam hingga 2 pagi. Kami mengutip kon yang dihanyutkan ke tepi jalan dan ke dalam air untuk diletakkan semula di kawasan tersebut demi keselamatan pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap cuaca semasa apabila musim hujan dijangka bertembung dengan fenomena air pasang besar yang boleh mencecah kira-kira 3.1 meter.
Menurutnya, hujan lebat dari arah darat serta hempasan ombak ke tebing dikhuatiri mempercepatkan hakisan dan menyebabkan kerosakan jalan menjadi lebih serius.
“Kita amat bimbang keadaan akan menjadi lebih parah kerana musim tengkujuh dan air pasang besar sedang berlaku. Jika kerja pembaikan lewat dilakukan, kerosakan lebih besar boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat menyegerakan kerja baik pulih bagi memastikan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
“Saya berharap pihak jabatan dapat mempercepatkan kerja baik pulih dan terus memberi perhatian kepada nasib penduduk di kampung ini demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

