Ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran di Sungai Linggi, Isnin lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini pihaknya sedang berusaha mengesan dalang yang melakukan perkara berkenaan.

“Kita memandang serius berkenaan isu ini dan telah mengarahkan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Badan Kawal Selia Air negeri dan Jabatan Alam Sekitar negeri agar meneliti bahan yang telah dibuang ke dalam sungai itu.

"Kita juga meminta masyarakat di luar sana, sekiranya ada maklumat mengenai pembuangan sisa itu ke dalam sungai dan jika mereka dapat membuktikan sehingga tertangkapnya orang berkenaan, maka kita akan berikan ganjaran RM10,000,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang Isnin, Sungai Linggi didapati tercemar dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak hitam enjin kenderaan, namun di tahap minimum.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kilang yang dibenarkan beroperasi di negeri ini perlu mematuhi segala arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tidak berlaku penularan pandemik Covid-19.

"Saya dimaklumkan ada kilang yang tidak mematuhi dan kurang faham mengenai peraturan tersebut. Jadi kita minta pihak berkuasa tempatan dan pihak berwajib memberi nasihat kepada pekilang-pekilang ini agar mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri bersetuju membenarkan tujuh pelajar tahfiz yang terkandas di sebuah pusat tahfiz di negeri ini sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lepas, pulang ke kampung halaman masing-masing, namun perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa atau polis. - Bernama

Artikel Berkaitan: