Mohd Zafir dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan

Aminuddin (kiri) dan Mohd Zafir ketika majlis berkenaan pada Rabu.
Aminuddin (kiri) dan Mohd Zafir ketika majlis berkenaan pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa Selasa.

Mohd Zafir, 53 tahun berasal dari Tampin, merupakan lulusan Ijazah Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan), Sarjana Teknologi Maklumat dari Universti Kebangsaan Malaysia serta mengikuti Oxford Advance Management and Leadership Programme di Universiti Oxford.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan Mohd Zafir diharap dapat membantu dan meneruskan agenda memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berjalan lancar, tambahan apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubar dalam masa terdekat ini.

"Beliau (Mohd Zafir) sebelum ini bertugas di Kementerian Kewangan Malaysia dan pastinya ini merupakan satu perkara yang meningkatkan lagi tentang kewangan... tentang keadaan ekonomi negeri pada masa akan datang.

"Saya yakin dengan pasukan yang ada ini Negeri Sembilan mampu ditadbir dengan keadaan teratur dan pastinya akan terus maju," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Angkat Sumpah dan Tandatangan Simpan Rahsia Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di sini pada Rabu.

Mohd Zafir menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Kementerian Penerangan.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di beberapa Jabatan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Mahkamah Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia serta Kementerian Kewangan.

Pelantikan beliau berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas hampir 29 tahun dalam perkhidmatan awam dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi, pengurusan kewangan serta hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri.